Berita Utama

Lanjutkan moratorium secara bersasar

Pengeluaran KWSP RM10,000 hanya penyelesaian terakhir

BANGI, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi perlu diteruskan dalam Belanjawan 2021 kerana masih ramai rakyat, terutama golongan B40 dan M40 memerlukan bantuan secara langsung dan cepat.

Hakikatnya, golongan miskin, miskin bandar dan golongan yang dikategorikan sebagai ‘vulnerable’ seperti orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta belia menganggur, begitu terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, bantuan kewangan bersifat pemberian berterusan hingga keadaan menjadi lebih baik  amat diperlukan mereka, kata Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin. 

“Mereka adalah golongan yang perlu disasarkan untuk diberikan bantuan kewangan secara berterusan, contohnya setiap bulan hingga keadaan menjadi lebih baik pada masa hadapan. 

“Selain bantuan kewangan, mereka perlu bantuan daripada segi kesihatan mental dan pendidikan anak yang begitu sukar menjalani pembelajaran dalam talian akibat kekangan infrastruktur,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan BH Online, hari ini.

Dalam pada itu, antara yang turut terkesan adalah golongan peniaga, terutama yang berniaga sendiri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mereka yang berada dalam sektor tidak formal.

Beliau berkata, golongan ini masih memerlukan bantuan daripada kerajaan. 

“Oleh itu, perlanjutan tempoh moratorium mungkin boleh dipertimbangkan. Namun, mesti dalam bentuk bersasar. Belanjawan ini juga perlu memperkenalkan strategi baharu berbentuk jangka sederhana,” katanya.

Selain itu dalam belanjawan ini juga, kata Dr Irwan Shah, kerajaan juga perlu memperkasakan jaringan keselamatan sosial sedia ada bagi memastikan keadaan lebih terkawal jika krisis dalam skala yang dialami sekarang berlaku pada masa hadapan.

Beliau berkata, cara tersebut adalah lebih baik selain cadangan untuk pengeluaran maksimum RM10,000 daripada akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off bagi mengharungi cabaran impak pandemik COVID-19 ini.

“Namun, jika keadaan mendesak, cadangan ini boleh dipertimbangkan, terutama kesan gelombang ketiga COVID-19 yang impaknya kepada rakyat belum diketahui sepenuhnya. 

“Namun, pengeluaran wang KWSP perlu dilihat sebagai jalan terakhir kerana ia membabitkan simpanan rakyat untuk hari tua,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button