Berita Utama

Maszlee umum tarik diri daripada Pejuang

'Saya percaya perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan'

KUALA LUMPUR, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik hari ini mengumumkan menarik diri daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Beliau yang merupakan Ahli Jawatankuasa Penaja penubuhan parti berkenaan berkata, beliau akan meneruskan usahanya membantu rakyat melalui kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Bebas dan ruang aktivisme melalui rangkaian Badan Bukan Kerajaan.

Ini, katanya termasuk membantu mereka yang terkesan dengan COVID-19 dan usaha dalam gerakan perubahan pendidikan.

“Saya percaya perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan, tetapi keinginan dan kesempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pejuang yang diasaskan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya, sehingga kini masih belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata keputusannya dibuat berdasarkan dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi dan kehendak rakyat.

“Saya yakin rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis. Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button