PA takkan terima dana Israel
Media Israel lapor PA akan terima kembali cukai pendapatan dikumpul

BAITULMAQDIS, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Pihak berkuasa Palestin (PA) akan menerima kembali cukai pendapatan yang dikumpul rejim pengganas Israel bagi pihaknya, lapor media Israel.
Sebelum ini, PA berhenti menerima cukai pada Mei ketika Presiden Mahmoud Abbas bertindak menangguhkan semua perjanjian dengan Israel, sebagai protes terhadap rancangan negara haram merampas wilayah Tebing Barat yang diduduki.
Sebaliknya, Setiausaha Jeneral Majlis Menteri Palestin, Amjad Ghanem membantah laporan itu, selain menegaskan bahawa PA akan terus menolak dana berkenaan.
Keputusan diputuskan sehinggalah Israel bersetuju dengan tuntutannya, termasuk melonggarkan sekatan pergerakan penduduk dan barangan di antara Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
“Kami berharap akan memenangi pertempuran politik bagi mendapatkan kembali dana dan pampasan,” katanya.
Israel setakat ini mengumpul 2.5 bilion shekel (AS$0.74 bilion) wang terkumpul milik PA, yang digunakan untuk membayar gaji penjawat awam PA dan pegawai di Tebing Barat. -Agensi