Berita UtamaIstimewa

Pekebun haram dibiarkan selesa! Kerajaan tak adil, double standard?

Jika tidak tegas kerajaan dianggap bersubahat dengan pihak berkepentingan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Isu penerokaan dan penanaman durian di atas tanah kerajaan serta hutan simpan di daerah Pahang yang masih belum menemui titik noktah menimbulkan kekeliruan serta tanda tanya kepada rakyat.

Seharusnya pekebum haram jangan dibiarkan selesa kerana akan menampakkan seperti berlakunya ‘double standard’ dalam perundangan.

Sehubungan itu, Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA) menyarankan, kerajaan negeri dan Pusat bersatu dalam memperjuangkan isu berkenaan.

Naib Pengerusinya, Ustaz Masrizi Sat menegaskan, barisan peguam PEMBELA bersedia membantu pihak kerajaan negeri atau Pusat sekiranya diminta berbuat demikian.

“Suatu tindakan bersepadu mesti dibuat sama ada dalam aspek perundangan, bidang kuasa yang jelas di antara pihak kerajaan negeri dan Jabatan Hutan di peringkat Pusat sehinggalah kepada penyatuan kekuatan penyiasatan penguatkuasa Pentadbir Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Hutan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“…dalam mengambil tindakan kepada penceroboh tanah dengan tegas, berani, telus dan adil walaupun melibatkan pihak atasan yang berpengaruh dan berkepentingan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Masrizi Sat berkata, dari sumber maklumat yang diterima olehnya terdapat syarikat pemaju atau penceroboh tanah kerajaan jadi berani dan kuat kerana menggunakan nama individu berpengaruh termasuk di kalangan orang politik serta pihak kerabat istana.

“Justeru, PEMBELA menyarankan oleh kerana hutan yang diceroboh melibatkan banyak tanah di bawah kawalan Jabatan Perhutanan, maka adalah wajar jika kuasa pengawalan tanah diberikan hak kepada kerajaan negeri Pahang bagi menyelesaikan kes pencerobohan yang berlaku agar dapat dibuat pemutihan dengan seberapa segera.

“Jika tidak tegas kerajaan dianggap bersubahat dengan pihak berkepentingan,” katanya.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 9 Disember untuk keputusan permohonan semakan kehakiman 110 penanam durian Musang King di Raub dan membenarkan perintah penggantungan terhadap notis pengosongan yang sepatutnya berakhir pada Rabu lalu, disambung sehingga tarikh sama.

Mahkamah diberitahu 110 penanam durian Musang King terbabit tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri Pahang supaya mereka mengosongkan kebun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button