Berita Utama

Perancis pernah jajah Afrika, bunuh jutaan umat Islam

Adakah Macron boleh terima sekiranya dihina dengan sebegitu teruk?

BANGI, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Walaupun atas nama kebebasan, sesiapa pun tidak boleh menghina Rasulullah ﷺ yang dikasihi seluruh umat Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, sifat kebebasan yang tiada batas hakikatnya adalah satu provokasi terhadap umat Islam seluruhnya. 

“Adakah Presiden Perancis, Emmanuel Macron boleh menerima sekiranya dia dihina dengan sebegitu teruk? Sudah tentu tidak.

“Apatah lagi dibenarkan untuk menghina Rasulullah ﷺ atas dasar kebebasan oleh kerajaan mereka. Inilah perbuatan melampau oleh sebuah kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Macron mencetuskan kemarahan dunia Islam apabila mendakwa orang Islam sebagai penganut fahaman pemisah dan menuduh Islam sebagai agama krisis di seluruh dunia.

Bahkan, Macron turut menyatakan negara itu tidak akan melarang karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad ﷺ.

Seluruh umat Islam terguris dengan pendirian Macron namun, sehingga hari ini pemimpin itu belum membuat permohonan maaf. 

Mengulas perkara itu, Hadi Awang berkata, Perancis sendiri dalam sejarahnya pernah menjajah negara-negara Afrika seperti Senegal, Algeria, Maghribi dan Mauritania selain Syria dan Lubnan.

Lebih teruk, mereka membunuh berjuta-juta orang Islam. 

Bahkan, sikap tidak berperikemanusiaan mereka itu juga jelas apabila menjadikan orang Afrika hamba abdi serta dijual ketika kolonisasi Perancis.

“Maka kita mesti protes dan bantah dengan sewajarnya tindakan oleh Presiden Perancis yang menghina Rasulullah ﷺ, namun tidaklah sehingga melampaui batas.

“Kita tidak menentang seluruh rakyat Perancis. Bukan semua rakyat Perancis sebegitu. Hanya mereka yang mengikut Macron sahaja yang kita tentang. Umat Islam mesti menjaga hubungan kemanusiaan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Katanya, umat Islam mengambil langkah yang wajar dengan memboikot barangan keluaran Perancis sebagai protes terhadap penghinaan kepada Rasulullah ﷺ.

“Umat Islam wajib menentang perbuatan melampau ini. Kita kena tunjukkan keimanan yang kasih kepada Rasulullah ﷺ,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button