Berita Utama

PPMM mohon kebenaran mencelah saman terhadap kerajaan

Keputusan beri impak kepada kedudukan Agong di sisi Perlembagaan

BERDASARKAN laporan berita yang ditularkan baru-baru ini, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendapati terdapat suatu saman pemula yang difailkan oleh seorang peguam Syed Iskandar Syed Jaafar terhadap Kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang antara lain memohon suatu penentuan:-

(a) sama ada Yang Di Pertuan Agong mempunyai budi bicara penuh tidak mengisytiharkan darurat walaupun setelah dinasihati oleh Perdana Menteri atau Jemaah Menteri Persekutuan; dan

(b) pindaan kepada Perkara 150 dengan menambah sub-perkara (8) dan (9) bercanggah dengan struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

2. Guaman yang tersebut di atas memberi impak yang besar kepada kedudukan Yang Di Pertuan Agong di sisi Perlembagaan Persekutuan khususnya berkaitan keupayaan Yang Di Pertuan Agong untuk menolak nasihat Perdana Menteri berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan sama ada tindakan Yang Di Pertuan Agong dalam kapasiti rasmi baginda boleh dicabar di mahkamah atau tidak.

3. Seperkara lagi yang tidak kurang pentingnya ialah keupayaan Parlimen membuat undang-undang mengeluarkan kuasa Mahkamah untuk meneliti keputusan kerajaan berkaitan dengan proklamasi darurat.

4. Hal ini akan menjelaskan lagi konsep pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman yang mana uniknya di Malaysia, Yang Di Pertuan Agong juga berfungsi sebagai salah satu elemen tunjang bagi semak dan imbang di dalam konsep pemisahan kuasa di Malaysia. Yang Di Pertuan Agong pula telah mengambil inisiatif aktif berbincang isu yang melibatkan negara ini dengan baginda Raja-Raja Melayu yang lain.

5. Dalam hal yang demikian PPMM sebagai sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh pengamal undang-undang merasa terpanggil untuk turut serta memberi pandangan dan hujahan dalam guaman ini. Dengan itu PPMM telah melantik Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil, Peguam Bela dan Peguam Cara, beralamat di No. 33-2, The Core, Jalan Teknologi 3/6B, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor untuk memohon kebenaran mencelah di dalam guaman yang tersebut di atas.

6. Oleh kerana isu Perlembagaan ini yang secara langsung berkait dengan kedudukan Raja-Raja Melayu, PPMM yang memperjuangkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang berpendapat dan percaya PPMM mempunyai kepentingan atau locus untuk mencelah di dalam guaman ini khususnya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan Raja-Raja Melayu dan agama Islam.

7. Setelah permohonan difailkan, mahkamah akan mendengar permohonan tersebut dan akan membuat keputusan sama ada membenarkan atau tidak untuk PPMM mencelah dan seterusnya sama ada PPMM boleh berpartisipasi di dalam guaman tersebut.

Datuk Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button