Berita UtamaDunia

Ribuan umat Islam di Bangladesh demonstrasi kecam Presiden Perancis

Gesa boikot produk Perancis, tuntut Macron minta maaf

DHAKA, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Puluhan ribu umat Islam berarak di Bangladesh – dalam demonstrasi terbesar negara itu – bagi membantah kutukan dan tuduhan Presiden Perancis, Emmanuel Macron – yang didakwa sengaja mencetuskan Islamophobia.

Tunjuk perasaan itu dianjurkan kumpulan Hefazat-e-Islam yang disertai oleh guru dan pelajar di ribuan sekolah Islam.

Mereka yang berkumpul di luar Masjid Baitul Mokarram di bandar Dhaka melaungkan slogan “Down with France” dan “Boikot Produk Perancis” serta membakar patung Presiden Perancis Emmanuel Macron.

Pemimpin kumpulan itu, Nur-Husain-Kashemi menggesa Macron meminta maaf kepada dua bilion umat Islam di seluruh dunia.

Beliau juga meminta umat Islam supaya memboikot barangan buatan Perancis dan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara itu.

“Saya meminta pemerintah (Bangladesh) untuk menutup Kedutaan Perancis, namun mereka tidak meluluskannya di Parlimen,” katanya.

Protes hari Isnin adalah terbesar dalam siri demonstrasi anti-Perancis di Bangladesh sejak minggu lalu, yang meminta penutupan Kedutaan Perancis serta menggesa Perdana Menteri Sheikh Hasina mengecam Perancis.

Hasina bagaimanapun masih belum memberi komen secara rasmi.

Macron sebelum ini, mencetuskan kemarahan dunia Islam apabila mendakwa orang Islam sebagai penganut fahaman pemisah, juga menuduh Islam sebagai agama krisis di seluruh dunia.

Bahkan, Macron turut menyatakan negara itu tidak akan melarang karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad ﷺ.

Macron membuat kenyataan itu, sebagai mengulas insiden seorang guru, Samuel Paty, yang dipenggal kepala di luar sekolahnya – di pinggir kota luar Paris awal bulan ini.

Kejadian berlaku selepas mendiang Paty menunjukkan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad ﷺ ketika kelas berkaitan kebebasan bersuara. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button