Senator Ras Adiba sahkan pegawai khas positif COVID-19
Beliau dan 10 ahli keluarga lain sedang tunggu keputusan ujian

KUALA LUMPUR, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Senator Ras Adiba Mohd Radzi hari ini mengesahkan bahawa seorang pegawai khasnya yang juga adik beliau, disahkan positif COVID-19 dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Sehubungan itu Ras Adiba berkata, beliau dan 10 lagi ahli keluarganya sedang menunggu keputusan ujian saringan COVID-19.
“Dalam kesempatan ini saya ingin memohon maaf sekiranya telah menyusahkan mana-mana pihak susulan kejadian yang menimpa diri saya dan keluarga,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, beliau reda dengan dugaan itu dan berharap agar Allah SWT melindungi semua dari wabak COVID-19.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan mengusulkan agar persidangan Dewan Rakyat hari ini ditangguh pada 1 tengah hari sebagai langkah berjaga-jaga, berikutan penularan gelombang ketiga COVID-19 di negara ini. -Bernama