Sidang Dewan Rakyat kecoh, MP PH didakwa provok Speaker
Azhar persoal M Karupaiya cakap secara bersahaja mengenai pertukaran kerajaan

BANGI, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Sidang Dewan Rakyat pagi tadi kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang melakukan provokasi termasuk kepada Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun.
Ketegangan berlaku apabila Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) mencelah meminta Azhar tidak menjawab bagi pihak menteri ketika disoal di dalam dewan.
“Speaker jangan jawab soalan bagi pihak menteri boleh tak?,” soalnya.
Azhar menegaskan, beliau menjawab kenyataan itu kerana sedang mempengerusikan mesyuarat yang berlangsung.
Jawapan itu bagaimanapun terus menimbulkan rasa kurang senang kepada Hanipa.
“Come on-lah speaker we are tired with your atitude (Sudahlah, speaker, kami dah penat dengan sikap kamu),” katanya seperti dilapor media tempatan.
Selain itu, Azhar turut mempersoalkan tindakan wakil rakyat PH dari Padang Serai, M Karupaiya yang bercakap secara bersahaja mengenai pertukaran kerajaan.
“Apa cakap macam tu, apa kena mengena dengan…kita ada usul 12(1) yang sepatutnya saya kemukakan masalah tanpa perbahasan,” katanya.
Difahamkan, kenyataan dikeluarkan Karupaiya itu selepas Azhar memberitahu isu yang dibangkitkan sebelum itu sedang diperhalusi pihak kerajaan.