
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Tindakan Kelab Mahasiswa BERJASA (WIBAWA) membuat laporan polis terhadap Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) tepat – demi menghormati dan mempertahankan institusi beraja.
Terdahulu, UMANY menerusi hantaran Facebook didakwa mempertikai kuasa Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam urusan politik negara.
Serentak itu, beberapa laporan polis telah dibuat oleh WIBAWA – termasuk menggesa supaya persatuan itu dibubar serta diharamkan.
Menyokong usaha tegas WIBAWA, Naib Pengerusi PEMBELA, Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, pihaknya bersetuju UMANY diharamkan terus daripada bertapak di dalam institusi pendidikan.
Beliau berharap Pengurusan Tertinggi Universiti Malaya (UM) akan membuat keputusan tegas dalam kes ini.
“Sudah terang lagi bersuluh UMANY bersikap biadap kepada Institusi Raja-Raja Melayu.
“Saya nak tunggu, berapa lama tempoh yang perlu diambil oleh UM untuk siasat kenyataan UMANY.
“Jika tidak, saya akan turun ke UM untuk minta penjelasan dengan pihak UM,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Semalam, Presiden WIBAWA, Azrul Azham mengesahkan pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor – untuk memohon supaya membubar dan mengharamkan UMANY.
Katanya, kenyataan UMANY terdapat unsur menghasut, memfitnah dan memberi fakta yang salah kepada masyarakat bagi menentang kedudukan Seri Paduka atas kuasa baginda bagi menentukan kestabilan politik dan ketenteraman negara.
“Jangan ada kompromi dalam hal ini demi menjaga nama ulung Universiti Malaya,” katanya.