Berita Utama

1,054 kes COVID-19, 12 kematian

Kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 10,135

PUTRAJAYA, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Jumlah kes baharu COVID-19 di Malaysia hari ini kembali mencatatkan angka empat digit iaitu 1,054 kes, selain mencatatkan kematian tertinggi sebanyak 12 kes sejak pandemik itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 34,393 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 10,135 kes.

Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kini adalah 263 kes.

“Daripada jumlah kes baharu, 1,040 kes adalah penularan dalam negara manakala 14 kes lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, hari ini.

Sebanyak tujuh kes penularan tempatan melibatkan mereka yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lepas adalah 478 kes.

“Bagi kes import ia melibatkan tiga warganegara dan 11 bukan warganegara yang tiba dari Korea Selatan dengan empat kes, Jepun dan Filipina (masing-masing dua kes), dan satu kes masing-masing dari Uzbekistan, China, Hong Kong, Nepal, United Kingdom dan Republik Maldives,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button