Berita Utama

3 beranak maut treler dinaiki terbabas di Gopeng

2 kanak-kanak lelaki antara terkorban dalam kemalangan itu

IPOH, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Tiga beranak maut selepas sebuah lori treler membawa muatan simen yang dinaiki terbabas ke bahu jalan di jalan lama Kota Bharu, Gopeng dekat sini malam tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.28 malam sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng serta Kampar dikejarkan ke lokasi.

“Semasa anggota tiba mendapati terdapat tiga orang tersepit di dalam treler iaitu seorang lelaki dewasa berumur 30 tahun dan dua kanak-kanak lelaki masing-masing berumur lapan dan enam tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata bomba menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan kesemua mangsa kerana keadaan treler yang terbalik dan terpaksa menggunakan jentolak serta jengkaut.

Operasi yang turut dibantu oleh polis, Kementerian Kesihatan serta Tenaga Nasional Berhad itu tamat pada 2.19 pagi dan mayat dibawa ke Hospital Kampar.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu Bernama semasa kejadian, abang saudaranya bersama dua anak lelaki sedang dalam perjalanan dari Gopeng menuju ke Langkap dekat Teluk Intan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button