Berita Utama

Kerajaan beri terus tablet PerantiSiswa, tak perlu pulang balik

Sebelum ini kerajaan tetapkan perlu pulangkan selepas tamat pengajian

SHAH ALAM, 6 Safar 1444H, Sabtu – Kerajaan hari ini memutuskan mahasiswa yang menerima PerantiSiswa Keluarga Malaysia tidak perlu memulangkan peranti itu apabila tamat pengajian nanti.

Mengumumkan perkara itu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sebelum ini telah menetapkan inisiatif PerantiSiswa itu diberikan secara Konsep Guna Pakai (KGP), yang menyaksikan mahasiswa perlu memulangkannya selepas tamat pengajian.

Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan maklum balas pertemuan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada 15 Ogos lepas.

“Namun atas maklum balas yang memberangsangkan semasa sesi pertemuan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama wakil MPP pada 15 Ogos lepas, terdapat cadangan supaya PerantiSiswa ini diberikan secara terus kepada mahasiswa yang mendapat keputusan cemerlang.

“Sukacita saya mengumumkan, bahawa kerajaan bersetuju untuk memberikan terus tablet berjenama ini kepada penerima PerantiSiswa. Jadi tidak perlu pinjam, tidak perlu pulang balik. Kerajaan beri terus kepada penerima,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam di sini hari ini.

Sebelum ini Annuar dilaporkan berkata permohonan untuk inisiatif Perantisiswa yang dibuka secara dalam talian sejak 15 April hingga 15 Mei lepas bagi fasa pertama telah menerima kira-kira 100,000 permohonan.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih untuk membekalkan sebuah peranti tablet kepada setiap pelajar B40 di IPT.

Tablet jenama Samsung dipilih sebagai pemenang tender bagi program berkenaan untuk membekalkan peranti itu mengikut lima zon iaitu Zon Sabah dan Sarawak, Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.

Sementara itu Perdana Menteri berkata kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh pendaftaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia, bertujuan memastikan lebih ramai golongan pelajar dan remaja memperoleh akses Internet untuk pembelajaran dalam talian dari rumah, tanpa kekangan data.

“Pakej prabayar mampu milik khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah ini, telah diperkenalkan bermula bulan Oktober 2021, dan asalnya dijadual akan tamat pada bulan Oktober tahun ini.

“Keputusan pemanjangan tempoh ini diharapkan memberi peluang kepada lebih ramai remaja dan pelajar untuk melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mudah alih,” katanya.

Dalam majlis sama, Ismail Sabri berkata kerajaan akan memperluaskan penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia ke kampus-kampus pengajian tinggi bagi memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara.

Beliau berkata penganjuran program di kampus itu diyakini dapat mengurangkan beban mahasiswa terhadap tekanan harga barangan yang tinggi.

“Diharapkan juga dengan inisiatif-inisiatif daripada pihak kerajaan ini, kita sebagai Keluarga Malaysia akan terus teguh bersama serta mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button