Berita Utama

Belanjawan 2021: Rayu bantu murid keluarga B40

Tingkatkan akses capaian internet di kawasan luar bandar, pendalaman

BANGI, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Kerajaan perlu mengemukakan langkah proaktif dalam Belanjawan 2021 demi kelestarian serta kelangsungan sistem pendidikan negara.

Tindakan itu wajar berdasarkan pandemik COVID-19 serta laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia mengenai akses pendidikan yang membabitkan 150 buah negara.

Sebelum ini, PBB dan Bank Dunia dalam satu laporan baharu merayu agar sekolah kekal dibuka walaupun dunia berdepan ancaman wabak COVID-19.

Menurut laporan itu, kanak-kanak di negara miskin tidak memperoleh sebarang akses pendidikan selama hampir empat bulan sejak penularan COVID-19, awal tahun ini.

Kanak-kanak di negara maju yang dapat mengakses pembelajaran mudah alih pula kehilangan pendidikan selama enam minggu.

Sehubungan itu, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mengesyorkan kerajaan mengambil enam langkah proaktif bagi membantu murid daripada keluarga berpendapatan rendah di negara ini.

Antaranya termasuk meningkatkan akses capaian internet dan jalur lebar terutama di kawasan luar bandar dan pendalaman bagi memastikan semua murid dapat mengikuti pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dengan baik khususnya di sekolah kebangsaan.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan turut mencadangkan pemberian alat peranti pintar kepada murid-murid dari keluarga B40 serta kepada sekolah-sekolah luar bandar bagi memudahkan proses pembelajaran.

Katanya, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) boleh bekerjasama dengan pihak swasta dan syarikat telekomunikasi bagi penyediaan alat peranti tersebut.

“Seterusnya, bantuan khas kepada keluarga miskin yang menghantar anak ke sekolah. Ini bagi mengelakkan keciciran anak-anak dari mengikuti sistem pembelajaran akibat tekanan kos hidup dan beban kemiskinan.

“Ketidaksamaan akses dan kemampuan memiliki akan meminggirkan murid-murid dari golongan berpendapan rendah.

“Elaun Khas untuk warga guru untuk tujuan penyedian bahan bantu pengajar dan kos utiliti penggunaan internet bagi meningkatkan kualti pengajaran secara dalam talian menggunakan peranti digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau menyarankan kerajaan menyediakan geran khas dan cuti sabatikal untuk pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi membuat kajian dan penyelidikan dalam membangunkan kaedah pengajaran dan pembelajaran era digital yang akan memberikan manfaat kepada warga guru dan murid-murid.

“Keenam, membantu pengusaha kantin dan dewan makan asrama dengan pemberian geran khas serta pekerja kantin yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Geran ini dapat membantu pengusaha kantin untuk memulakan operasi apabila sekolah dibuka manakala untuk para pekerja dapat diselamatkan dari diberhentikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button