Berita UtamaDunia

Budak 4 tahun diselamatkan selepas 91 jam terperangkap dalam runtuhan

'Ayda melambai, memberitahu nama dan berkata dia baik-baik saja'

IZMIR, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditarik keluar dari runtuhan bangunan – 91 jam selepas gempa kuat melanda wilayah Izmir di barat Turki – yang mengakibatkan lebih 100 orang terkorban.

Kanak-kanak itu – dikenali sebagai Ayda – kemudiannya dimasukkan ke dalam ambulans, dibaluti dengan selimut di tengah-tengah tepukan dan sorakan “Tuhan itu hebat!” dari anggota penyelamat dan penonton.

Penyelamat Ayda, Nusret Aksoy memberitahu wartawan bahawa beliau terdengar jeritan kanak-kanak sebelum menemui mangsa di dapur apartmennya.

“Ayda melambai pada saya, memberitahu namanya dan mengatakan bahawa dia baik-baik saja,” katanya.

Ayda diselamatkan sehari selepas seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan remaja 14 tahun dikeluarkan dari sisa bangunan runtuh di Izmir.

Datuk Bandar Izmir, Tunc Soyer menerusi ciapan di Twitter menyifatkan, penyelamatan Ayda itu sebagai keajaiban pada jam ke-91.

“Pasukan penyelamat mengeluarkan Ayda yang berusia empat tahun. Bersama-sama dengan keperitan yang kami alami, kegembiraan turut dirasai,” katanya.

Angka kematian akibat gempa meningkat kepada 102 di Turki hari ini, Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) melaporkan, 1,026 orang cedera – 143 daripadanya masih di hospital.

Dua remaja yang dalam perjalanan pulang dari sekolah juga terbunuh di Greece.

Turki melaporkan lebih dari 1,475 gempa susulan berikutan bencana itu, termasuk 44 yang berada di atas empat skala Richter.

Selepas puluhan bangunan rosak dan risiko gegaran berulang, ribuan penduduk di Izmir terpaksa berlindung dan tidur di dalam khemah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button