Berita Utama

Degil! Tolong dengar nasihat pakar, tangguh PRK Batu Sapi: iMedik

'Kita masih belum pulih, tak mustahil berlaku gelombang baharu'

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Tolonglah dengar nasihat pakar kesihatan dan ketepikan kepentingan politik sehingga pandemik COVID-19 di negara ini berjaya ditangani.

Demikian rayu Presiden Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azmi Md Nor yang bimbang terhadap rancangan meneruskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah.

Beliau membayangkan kes jangkitan terus meningkat sekiranya pilihan raya itu diteruskan, memandangkan Sabah kekal merekodkan jumlah kes tertinggi setakat ini.

“Saya menganggap ahli politik ini degil. Dengarlah nasihat daripada pakar dan ahli dalam bidang kesihatan.

“Kita masih belum pulih dengan gelombang sekarang, dan tak mustahil akan berlaku lagi gelombang baharu jika (PRK) diteruskan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Susulan kematian Ahli Parlimen Batu, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu, PRK perlu diadakan di saat peningkatan kes COVID-19 di Malaysia, khususnya di Sabah.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kerusi itu dikosongkan.

Meskipun tertakluk Perlembagaan, Prof Azmi berkata, kerajaan boleh mendapatkan nasihat pakar Perlembagaan mengikut kesesuaian keadaan negara ketika ini.

“Perlembagaan adalah digubal oleh manusia. Bukan kita tidak boleh pinda. Minta sahaja pandangan pakar Perlembagaan.

“Kemudian dengar nasihat pakar kesihatan. Daripada mendatangkan mudarat lebih teruk, baik ditangguhkan,” katanya.

Melihat impak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, beliau berkata, ia sudah cukup memberi gambaran kepada keadaan akan datang selepas PRK Batu Sapi pula diadakan.

“Memanglah mereka kata akan menetapkan SOP yang lebih ketat untuk PRK itu, tetapi adakah akan dipatuhi.

“Tengok sewaktu PRN, katanya SOP ketat tetapi akhirnya ahli politik dan penyokong parti sendiri yang ingkar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button