Berita Utama

Gesa KPT ambil tindakan terhadap UMANY

Gerakan mahasiswa 'antiraja' gugat keamanan negara: PEMBINA

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa mengambil tindakan sewajarnya ke atas Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) – kerana didakwa mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan politik negara.

Ini kerana, artikel bertajuk ‘Yang Dipertuan Agong Tidak Sepatutnya Campur Tangan Dalam Hal Ehwal Negara’ yang dimuat naik UMANY di Facebook jelas menghina dan merendahkan kedudukan Seri Paduka berhubung keputusan menolak pengisytiharan darurat.

Bukan itu sahaja, kenyataan UMANY juga didakwa mengandungi unsur menghasut, memfitnah dan fakta yang salah berkenaan kedudukan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menentukan kestabilan politik dan ketenteraman negara.

Menerusi surat yang ditunjukkan kepada Ismaweb.net hari ini, Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Kuala Lumpur, Rais Abdul Rahman berkata, sikap yang diperlihatkan UMANY jelas menunjukkan mereka tidak menjiwai Rukun Negara dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, dari sudut undang-undang, kenyataan UMANY menyalahi Akta Hasutan, Seksyen 4(1) – mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau kerajaan, selain menyalahi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 233.

“Unsur-unsur hasutan yang ditimbulkan oleh mereka ini perlu dipandang serius kerana boleh menyebabkan huru-hara dan menggugat keamanan negara.

“Jika sikap biadap mereka ini dibiarkan ditanam dalam diri mahasiswa yang lain, negara akan berdepan risiko yang sangat besar iaitu kebangkitan mahasiswa menentang kepimpinan dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat yang menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong, sejajar dengan prinsip Rukun Negara, Rais berkata, pihaknya berharap agar pihak KPT memandang serius terhadap mana-mana gerakan mahasiswa yang membawa fahaman ‘antiraja’.

“Kami sangat berharap agar pihak KPT mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap UMANY. Hal ini penting dalam memastikan persatuan pelajar menjaga adab berpersatuan dan menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

“Justeru, segala gerakan yang boleh merosakkan cita-cita ini perlu diatasi dengan segera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button