Pendapat

Jangan tolak ansur Rasulullah ﷺ dihina

Perancis angkat kebebasan bersuara tapi bantah bila jadi 'mangsa'

AWAL bulan ini, guru sejarah, Samuel Paty dipenggal kepala selepas menunjukkan kartun menghina Nabi Muhammad ﷺ terbitan majalah satira Charlie Hebdo kepada kelasnya.

Remaja warga Chechnya yang didakwa membunuhnya, Abdullakh Anzorov, 18 tahun, juga ditembak mati polis selepas itu. Kini enam lagi ditahan atas tuduhan berkait akta keganasan dengan dua daripadanya di bawah umur.

Sempena kematiannya, Paty diberikan Legion d’Honneur, iaitu anugerah tertinggi Perancis dan majlis kematiannya dihadiri Presiden, Emmanuel Macron.

Isu timbul apabila Macron menggunakan kematian Paty untuk menghina Islam dengan memanggil Islam sebagai agama mengalami krisis di seluruh dunia. Macron memperakui semula kartun Charlie Hebdo itu dengan menyatakan: “Republik ini tidak akan sekali-kali menyerahkan kartunnya.”

Sebelum itu, Charlie Hebdo menyiarkan semula kartun kontroversi menghina Nabi Muhammad ﷺ yang pernah diterbitkan pada 2015. Alasan mereka, ia sempena perbicaraan terhadap pengganas berkait peristiwa 2015 bermula.

Karikatur terbitan Charlie Hebdo bersifat provokatif, sekali gus memang boleh menimbulkan kemarahan.

Perancis ialah negara sekular yang sering mengangkat kebebasan bersuara, namun membantahnya apabila berasa menjadi ‘mangsa.’ Banyak kajian menyatakan golongan mudanya semakin tidak bersetuju identiti negara membenarkan kebebasan suara tanpa had. Dasar itu sejak akhir-akhir ini sering menimbulkan pergolakan dalam masyarakat yang mula berpolarisasi.

Ucapan retorik dan populis Macron pula sering melabel Islam dengan label ekstremis, namun dasar negaranya bersikap bermusuhan terhadap Islam.

Perancis melarang pemakaian burqa secara menyeluruh pada 2004 termasuk menghalang kanak-kanak perempuan ke sekolah memakai tudung.

Alasan Macron, beliau ingin memastikan wanita memakai tudung dalam keadaan ‘tidak dipaksa melakukannya.’

Malah, Macron menuduh wanita memakai tudung di tempat awam sebagai mengasingkan diri dan enggan berasimilasi dengan budaya sekular Perancis. Ia tuduhan tidak berasas sama sekali.

Seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam suratnya dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam kenyataannya sebelum ini, sebagai umat Islam kita menolak sama sekali tindakan keganasan yang membawa kepada penganiayaan dan kehilangan nyawa.

Namun, kita tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penghinaan kepada Nabi Muhammad ﷺ yang dicintai dan kita menentang sepenuhnya sebarang fitnah kepada agama Islam.

Minggu ini, seruan #boycottfrenchproducts mula tersebar di media sosial. Umat Islam diseru memboikot produk Perancis bukan kerana mahu membalas dendam, sebaliknya atas dasar kecintaan kepada Nabi ﷺ dan kebencian kepada dasar ‘kebebasan memilih bulu’ Macron.

Akibatnya, bursa saham Paris mulai merudum dan kerajaan Perancis mula mengeluarkan kenyataan mengecam kempen itu, meskipun Macron memulakannya dahulu.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan turut mengulangi seruan pemboikotan, sekali gus menyemarakkan lagi kempen di serata dunia. Pemboikotan ekonomi dan ancaman COVID-19 yang belum reda di Eropah boleh melumpuhkan ekonomi Perancis.

Dr Siti Nurhayati Adznan
Wanita ISMA, Cawangan Alor Gajah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button