Berita Utama

Kepakaran dan produk kebanggaan negara yang diiktiraf dunia

Pencapaian pasukan F1 Mercedes-AMG-Petronas amat luar biasa

1. PENCAPAIAN pasukan Formula One (F1) Mercedes-AMG-Petronas mencipta kejuaraan pengeluar dunia 7 kali berturut-turut bermula 2014-2020 adalah sesuatu yang luar biasa dan amat membanggakan

2. Kejayaan ini yang turut memadamkan rekod pasukan F1 Ferrari sebelum ini membuktikan kepakaran anggota dan kehebatan produk Petronas (petrol dan minyak pelincir) bukan merupakan jaguh kampung, malah diiktiraf konsisten sebagai yang terbaik di dunia

3. Terdapat beberapa pengajaran utama yang boleh kita pelajari dari pencapaian ini. Pertama, setiap perkara bermula kecil dengan langkah pertama. Ketika Petronas mula menceburi sukan F1 pada tahun 1995 bersama Sauber, tiada siapa yang menyangka pasukan kerdil yang tidak dikenali ini mampu menjadi juara hanya selepas 19 tahun. Ingat, kita tidak akan pernah terlambat untuk mencuba

4. Kedua, cita-cita yang tinggi serta wawasan jangka masa panjang adalah rahsia kejayaan organisasi yang berjiwa besar. Petronas bukan sahaja melihat sukan permotoran F1 sebagai medan pemasaran global tetapi juga pentas bagi membuktikan prestasi produknya dan melatih para anggotanya menjadi jurutera dan saintis bertaraf antarabangsa. Perancangan ini dilakukan awal dengan perancangan strategik yang amat mapan. Mari kita fikirkan, apakah potensi masa depan yang masih belum diterokai untuk kita jadikan batu loncatan kejayaan kita hari ini?

5. Ketiga, usaha berterusan, disiplin yang tinggi dan pengorbanan luar biasa yang ditunjukkan oleh setiap ahli pasukan mencambahkan kejayaan lebih besar dari jumlah usaha setiap individu yang terlibat. Lewis Hamilton sebagai contoh sentiasa merungut cara pemanduannya ‘teruk’ walaupun telah berkali-kali menjadi juara dunia. Beliau tidak pernah berhenti memperbaiki diri. Setiap mili saat adalah amat berharga dalam sukan yang hanya memerlukan 2 saat untuk satu-satu pitstop!

6. Keempat, kerjasama pasukan yang ditunjukkan oleh seluruh pasukan Mercedes-AMG-Petronas adalah amat menakjubkan. Setiap ahli pasukan daripada mekanik yang menukar tayar kereta sehinggalah kepada principal pasukan menunjukkan budaya kerja rendah diri dan komitmen yang amat tinggi demi misi, visi yang sama. Uniknya, pasukan The Silver Arrow ini juga mengadakan sesi meditasi bagi semua jurutera pasukan mereka bagi membina ketenangan dan kerjasama pasukan yang mantap

7. Kelima, faktor paling utama yang menjadi tonggak kepada kejayaan pasukan ini tentulah kepimpinan ulung daripada Toto Wolff yang merupakan principal dan CEO pasukan. Sejak meninggalkan pasukan Williams F1 dan menyertai Mercedes-AMG-Petronas pada tahun 2013, beliau terus memacu pasukan ini mencapai kejuaraan pertama pada tahun 2014 selama 7 tahun berturut-turut. Toto Wolff memiliki kemahiran sebagai seorang pelumba, kekuatan dana sebagai seorang jutawan yang berjaya, pemikiran strategik dengan mengoptimumkan teknologi digital serta sikapnya yang terbuka serta disenangi semua ahli pasukan. Lewis Hamilton menggelarnya sebagai ‘pemimpin paling hebat’ yang pernah dikenali

Tahniah pasukan F1 Merdeces-AMG-Petronas!

Tahniah Malaysia!

Ir. Ts. Lukman Al Hakim

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button