Berita Utama

Malaysia konsisten sokong perjuangan Palestin

Pendirian selaras resolusi PBB berdasar garis sempadan pra 1967

KUALA LUMPUR, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Malaysia sentiasa berpendirian jelas dan konsisten menyokong pembentukan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Menerusi kenyataan hari ini, Kamarudin berkata pendirian negara adalah selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam pembentukan negara melalui Penyelesaian Dua Negara berdasarkan garis sempadan pra 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota negara.

Justeru, beliau berkata kerajaan akan terus mengetengahkan pendirian serta menyokong usaha jujur, konkrit dan realistik bagi membantu Palestin serta mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Palestin.

“Kementerian Luar akan meneliti secara terperinci Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa Bil. 1 2020 yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat semalam.

“Selaras dengan dasar kerajaan yang komited menyokong Palestin, pihak kementerian akan membuat pertimbangan serius terhadap syor-syor yang dikemukakan dalam Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya akan menyelaras tindakan susulan melibatkan kementerian serta agensi kerajaan yang berkaitan memandangkan syor-syor tersebut juga meliputi perkara-perkara di bawah bidang kuasa mereka.

Sementara itu, Kamarudin merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa di atas jemputan kepada wakil kementeriannya untuk memberi taklimat semasa Mesyuarat Jawatankuasa pada 7 Feb lepas.

Taklimat tersebut adalah mengenai hubungan serta kerjasama antara Malaysia-Palestin serta inisiatif Malaysia bagi membantu rakyat Palestin selain menyokong perjuangan mereka, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button