Berita Utama

Malaysia sambut baik jemaah luar negara dibenar laksana umrah

Kementerian dapatkan khidmat nasihat MKN, KKM untuk SOP ibadah

BANGI, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Malaysia menyambut baik keputusan kerajaan Arab Saudi, baru-baru ini membenarkan jemaah luar negara mengerjakan ibadah umrah selama 10 hari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, bahawa kerajaan akan bekerjasama rapat dalam usaha memastikan umat Islam di Malaysia turut dapat mengerjakan umrah di tanah suci.

Katanya, kerajaan akan terus memantau situasi COVID-19 khususnya di negara ini, pada masa sama meneliti dari semasa ke semasa SOP ibadah umrah yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Kerajaan akan melakukan yang terbaik demi kepentingan rakyat Malaysia khususnya jemaah umrah yang bakal ke tanah suci kelak. Bagi kerajaan, keselamatan dan kesihatan jemaah umrah Malaysia adalah keutamaan tertinggi,” katanya hari ini.

Di samping itu, kenyataan turut memaklumkan, kedua-dua kementerian akan mendapatkan khidmat nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Marilah kita sama-sama mendoakan, semoga segala usaha demi memastikan umat Islam di Malaysia dapat kembali ke tanah suci dipermudahkan Allah SWT. Insya-Allah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button