Berita Utama

Penguatkuasaan undi 18 tahun, daftar automatik dijangka Julai 2021

Beberapa sesi libat urus bersama jabatan, agensi kerajaan dijalankan

KUALA LUMPUR, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Penguatkuasaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dalam jawapan bertulis, hari ini bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung status usia kelayakan mengundi 18 tahun dan daftar pemilih secara automatik.

Takiyuddin berkata, persiapan yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meliputi penyediaan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan.

Selain itu, suruhanjaya berkenaan kini giat menyediakan prosedur operasi standard (SOP), sistem dan infrastruktur bagi tujuan pelaksanaan umur kelayakan mengundi 18 tahun serta daftar pemilih secara automatik.

Katanya, bagi maksud membantu SPR dalam menyediakan SOP daftar pemilih secara automatik, beberapa sesi libat urus bersama jabatan dan agensi kerajaan dijalankan.

Antaranya seperti Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penjara Malaysia, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah, Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“SPR juga mengadakan beberapa sesi libat urus bersama parti politik dari blok kerajaan dan pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masing-masing antara 3 Oktober hingga 3 Disember 2019.

“Kerjasama sedang dijalin antara SPR dan JPN melalui Jawatankuasa Pasukan Petugas SPR dan JPN dalam persiapan melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik dan urusan lain yang berkaitan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, SPR menjangkakan semua persiapan yang sedang diambil tindakan akan dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada 25 Julai, tahun lalu.

“Sehubungan itu, jangkaan tarikh pelaksanaan adalah selewat-lewatnya pada Julai 2021,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button