Berita Utama

Peniaga dikompaun guna pencuci lantai sebagai cecair pembasmi kuman

Dakwa boleh menghapuskan kuman selain harganya murah

JEMPOL, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Padah menggunakan pencuci lantai sebagai cecair pembasmi kuman di premis kerana mahu berjimat, peniaga dikompaun RM1,000 dalam operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sekitar daerah ini, dua hari lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol DSP Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata tindakan itu dikesan ketika pemeriksaan yang dijalankan polis pada pukul 10 pagi hingga 10 malam bersama agensi lain termasuklah Pejabat Kesihatan Daerah Jempol dan Majlis Perbandaran Jempol.

“Peniaga berkenaan mendakwa pencuci lantai itu boleh menghapuskan kuman pada tangan selain murah. Tindakan itu sama sekali tidak wajar kerana boleh mendatangkan masalah lain kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Hafiz berkata polis turut mengeluarkan empat lagi kompaun kepada peniaga atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, tiada daftar masuk pelanggan, tidak menyediakan buku daftar pelanggan dan tidak mengehadkan pelanggan masuk ke premis.

“Kami akan terus mengadakan operasi pematuhan seluruh daerah bagi memastikan orang ramai termasuk peniaga mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button