Berita Utama

Perkeso sambut baik jawatan kosong wajib iklan di MYFutureJobs

Kira-kira 745,000 rakyat Malaysia masih menganggur

KUALA LUMPUR, 17 Rabiulawal 1442, Selasa – Keputusan Kementerian Sumber Manusia mewajibkan majikan mengiklankan kekosongan jawatan di portal pekerjaan nasional, MYFutureJobs bagi pengambilan semula pekerja asing dan pegawai dagang adalah langkah yang baik, kata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed memuji dasar itu, memandangkan peningkatan kadar pengangguran di negara ini.

“Pada masa yang mencabar ini, adalah wajar untuk kita mengutamakan penduduk tempatan untuk mengisi kekosongan pekerjaan sebelum kita membukanya kepada orang asing atau ekspatriat.

“Malaysia memiliki sejumlah besar pencari kerja tempatan di pasaran buruh negara yang mampu mengisi kekosangan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Perkeso kini mempunyai lebih 90,000 pekerja yang diberhentikan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (EIS), sementara terdapat lebih daripada 745,000 rakyat Malaysia yang menganggur yang berada di luar skim EIS.

Kira-kira 300,000 graduan, tambahnya, juga akan memasuki pasaran tenaga kerja dan harus bersaing dengan pekerja berpengalaman dalam mencari pekerjaan.

“Oleh itu, sangat penting pada masa ini untuk memperkenalkan dasar untuk kebaikan rakyat Malaysia, terutama individu yang tidak bekerja.

“Walaupun ada yang melihat langkah ini sebagai strategi jangka pendek yang mungkin tidak dapat mengatasi pengangguran, atau mungkin menjauhkan para pelabur, Perkeso melihatnya sebagai transformasi positif di pasaran tenaga kerja.

“Dengan pelaksanaan langkah ini, kami percaya bahawa kami dapat mengumpulkan informasi yang cukup mengenai keperluan industri serta memberikan input bagi sistem pendidikan menyiapkan kurikulum yang bersesuaian dengan pekerjaan di masa depan,” katanya.

Dr Mohammed Azman berkata, dengan Program Insentif Pengambilan Pekerja di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional (Penjana), majikan dapat menghantar calon-calon tempatan yang mungkin tidak memiliki kepakaran tertentu untuk mendapatkan latihan – secara percuma.

“Insentif kewangan juga diberikan untuk majikan, mulai dari RM800 pada hingga RM1,000 setiap pekerja hingga enam bulan,” katanya.

Namun, beliau menyatakan bahawa sekiranya majikan mempunyai keperluan khusus mengenai pekerja mereka, mereka diperbolehkan mengambil pekerja asing atau ekspatriat, hanya setelah mereka gagal mencari calon tempatan yang sesuai melalui temu duga kerja.

“Kami menyedari perlunya kepelbagaian di tempat kerja atau pemindahan teknologi dengan memiliki ekspatriat di negara ini.

“Sebenarnya, untuk jawatan penting seperti di Kategori 1 (pekerja mahir dengan gaji bulanan RM10,000 ke atas), majikan boleh memohon pengecualian daripada mengiklankan kekosongan jawatan atau mengadakan temuduga untuk calon tempatan,” katanya

Sebarang pertanyaan berkenaan perkhidmatan pekerjaan dan portal MYFutureJobs boleh hubungi Perkeso di talian 03-8091 5300.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button