Berita Utama

Syor ujian saringan COVID-19 berkala di Parlimen

Perketat kehadiran pegawai yang perlu hadir bertugas

PUTRAJAYA, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan ujian saringan COVID-19 dijalankan kepada Ahli Parlimen dan petugas, secara berkala pada setiap dua minggu dan bukan hanya tiga hari sebelum persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Parlimen bermula.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun untuk dipertimbangkan, dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 di Parlimen.

“Kita juga telah perketatkan kehadiran pegawai di Parlimen iaitu pegawai yang perlu hadir bertugas, dikehendaki menjalani ujian saringan COVID-19. Kalau boleh gunakan ‘persidangan video secara maya (untuk tugasan), tetapi jika terpaksa hadir juga mereka dimestikan menjalani ujian saringan tersebut.

“Walaupun kita ada saringan suhu tetapi kita maklum bahawa 60 hingga 70 peratus daripada pembawa virus ini tiada gejala. Risiko tetap ada tetapi kementerian akan menjalankan penilaian risiko dari semasa ke semasa,” katanya semasa sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga akan bekerjasama dengan kementerian lain, bagi memastikan rantaian jangkitan virus COVID-19 boleh diputuskan atau mengelakkan jangkitan di Parlimen.

Beliau berkata, saringan COVID-19 yang dijalankan tiga hari sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula hari ini mendapati, tiga individu termasuk seorang polis bantuan yang berkhidmat di pejabat Perdana Menteri (PMO), adalah positif.

“Polis bantuan itu ada tugasan khas di Parlimen. Setakat ini beliau telah menjangkiti isteri dan tiga rakan setugas. Kluster ini dikenal pasti sebagai Kluster Seridana (Putrajaya) dan melibatkan lima kes positif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pada masa ini saringan sedang dijalankan di PMO.

Sementara itu beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang perlu diperketatkan lagi bagi mengekang penularan COVID-19.

“Kami (Kementerian Kesihatan) sedang meilihat menjadikan zon oren sebagai satu amaran kepada kami untuk mengambil tindakan pada zon itu… tindakan proaktif perlu diambil dan mungkin terus mengetatkan PKPB,” katanya.

Kategori zon merah adala bagi kawasan dengan lebih daripada 41 kes positif COVID-19, zon oren (21-40) zon kuning (1-20), zon hijau (0 kes).

Dr Noor Hisham juga menasihatkan orang ramai di zon oren dan merah untuk duduk di rumah dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button