Berita Utama

Keputusan rayuan Abdul Azeez batal tuduhan rasuah, ubah wang haram pada 21 Mac

Terima e-mel daripada Mahkamah Rayuan maklum tarikh keputusan rayuan tersebut

KUALA LUMPUR, 11 Syaaban 1443H, Isnin – Keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya, ditetapkan pada 21 Mac ini.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez, ketika dihubungi pemberita hari ini berkata, pihaknya menerima e-mel daripada Mahkamah Rayuan pada 9 Mac lepas bagi memaklumkan tarikh keputusan rayuan itu.

Abdul Azeez, 55, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Mac tahun lepas yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram dihadapinya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika menolak permohonan itu berkata, mahkamah mendapati kesemua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling, untuk menangguhkan perbicaraan kesnya di Mahkamah Sesyen sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Abdul Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di sini pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button