Berita UtamaIstimewa

UMANY kebal? PEMBELA desak UM haramkan segera

'Jangan sampai wakil kami turun ke UM berjumpa pihak atasan'

BANGI, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mempersoalkan apakah Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) kebal kerana masih bebas bergerak di luar sana.

Pertubuhan didakwa pro-DAP itu sebelum ini berulang kali mencetuskan provokasi dan kontroversi dengan yang terbaharu mempersoal campur tangan Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pentadbiran negara.

Apa yang menjadi kehairanan kini, soal PEMBELA, meskipun sudah banyak laporan polis dibuat, pertubuhan yang disifatkan sebagai ultra kiasu kecil itu tetap teguh, dan kemungkinan sedang ‘seronok’ melihat kemarahan rakyat ketika ini.

Oleh yang demikian, PEMBELA memberi amaran akan ‘turun padang’ berjumpa sendiri dengan pihak atasan Universiti Malaya (UM), jika UMANY tidak diharamkan.

“Kita gesa agar mereka ini diharamkan sahaja, jangan sampai wakil kami akan turun sendiri ke UM berjumpa pihak atasan.

“Sudah berkali-kali Universiti Malaya dimalukan oleh karenah dan perangai mereka ini.

“Universiti Malaya adalah kebanggaan seluruh rakyat Malaysia yang merupakan universiti terulung dan terbaik negara, apabila mereka dimalukan sebegini, maka kami turut rasa malu,” kata PEMBELA dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, UMANY menerusi hantaran Facebook didakwa mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan politik negara.

UMANY mendakwa, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Kata pertubuhan itu, di bawah sistem, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

Sama ada melantik Ketua Hakim, duta diplomatik bahkan meluluskan berbagai undang-undang di Parlimen, raja tidak mempunyai wewenang, kata UMANY.

Serentak itu, beberapa laporan polis telah dibuat oleh Tindakan Kelab Mahasiswa BERJASA (WIBAWA) – termasuk menggesa supaya persatuan itu dibubar serta diharamkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button