Dunia

WHO ingatkan dunia waspada risiko influenza ketika COVID-19

Golongan berisiko kanak-kanak, wanita hamil digesa ambil vaksin

GENEVA, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan global supaya sentiasa peka dan waspada mengenai risiko jangkitan influenza terhadap kanak-kanak serta wanita hamil dalam tempoh pandemik COVID-19.

Ketua Teknikal Program Kesihatan WHO, Maria Van Kerkhove berkata, pihaknya menjangkakan musim influenza berlaku di Hemisfera Utara, namun sistem pengawasan untuk selesema sudah ada dan masih berfungsi walaupun ketika pandemik. 

Sehubungan itu, Kerkhove menyarankan golongan berisiko untuk mengambil vaksinasi tahunan, terutama sewaktu dunia sedang teruk berperang wabak. 

Sementara itu, Ketua Pengurusan Klinikal WHO, Janet Diaz berkata, tindakan berwaspada adalah langkah terbaik sewaktu musim influenza, walaupun ia mempunyai gejala sama seperti COVID-19 tetapi masih ada beberapa perbezaan antara kedua-duanya. 

Katanya, sekiranya kanak-kanak dan wanita hamil menunjukkan gejala sindrom pernafasan akut, mereka perlu diuji sebelum diberi rawatan sewajarnya. 

Bagi COVID-19, kortikosteroid digunakan untuk rawatan wabak berkenaan dan dapat mengurangkan pesakitnya daripada menjadi kritikal.

Namun, kortikosteroid berisiko digunakan kepada pesakit yang hanya menghidapi influenza kerana dibimbangi meningkatkan replikasi virus. 

Justeru katanya, sangat penting untuk mendiagnosis berdasarkan pengetahuan mengenai perbezaan rawatan dan gejala di antara influenza serta COVID-19. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button