Berita Utama

6,782 pendatang tanpa izin dihantar pulang, 720 operasi di Sabah

Pemeriksaan 16,270 warga asing bermula 1 Januari hingga 23 Oktober

KUALA LUMPUR, 18 Rabiulawal 1442H, Rabu  РSebanyak 6,782 pendatang tanpa izin yang ditahan di Sabah telah dihantar pulang ke negara masing-masing seperti Filipina dan Indonesia sejak 1 Januari hingga 23 Oktober lepas, dalam usaha kerajaan menangani peningkatan jumlah pendatang tanpa izin di negeri itu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan dalam tempoh yang sama juga, 720 operasi dilaksanakan Jabatan Imigresen, membabitkan pemeriksaan terhadap 16,270 rakyat asing.

Daripada jumlah itu 1,840 pendatang tanpa izin serta 24 majikan ditangkap atas pelbagai kesalahan, menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen, bagi menjawab soalan Yamanis Hafez Musa (Bersatu-Sipitang) berhubung isu itu.

KDN menjelaskan kerajaan turut menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) susulan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pendatang Asing di Sabah, bertujuan mengkaji dan membincangkan isu berkaitan pendatang dan orang asing di Sabah.

Jawatankuasa itu sentiasa mengambil langkah proaktif bagi mengatasi isu-isu berbangkit dalam melaksanakan pelan tindakan yang dirumuskan oleh Suruhanjaya, termasuk berhubung isu pendatang tanpa izin di Sabah melalui mesyuarat yang dijadualkan secara berkala sepanjang tahun, menurut KDN. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button