Berita Utama

Agong titah perhalusi cadangan, rangka belanjawan bersifat inklusif

Dahulukan kemaslahatan masyarakat umum

KUALA LUMPUR, 18 Rabiulawal 1442H, Rabu – Kerajaan disaran memperhalusi setiap cadangan bagi merangka Belanjawan 2021 bersifat inklusif serta komprehensif, berpaksikan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara dan pembendungan efektif wabak COVID-19.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan itu ketika menerima menghadap Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Istana Negara petang tadi.

Pada pertemuan yang berlangsung selama 70 minit itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat ringkas mengenai kedudukan ekonomi semasa dan fiskal negara serta usaha Kementerian Kewangan menyediakan Belanjawan 2021 sejak Julai, melalui lebih 40 sesi libat urus melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan, termasuk wakil parti-parti politik negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada kerajaan serta parti-parti politik di atas semangat bipartisan dan pemuafakatan yang telah ditunjukkan,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata dalam majlis menghadap itu, Tengku Zafrul disertai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat amalan kematangan berpolitik dengan mengetepikan perbezaan dan kepentingan parti atau peribadi amat penting pada ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat bencana wabak COVID-19,” katanya.

Seri Paduka turut bertitah semangat itu adalah selaras dengan budaya syura yang dianjurkan oleh Islam sebagaimana dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu dalam sesi Perbincangan Khas di Istana Negara pada 25 Oktober lalu.

Al-Sultan Abdullah bertitah dalam keadaan situasi sukar dan genting ini, amat wajar kemaslahatan masyarakat umum mendahulukan kepentingan individu secara khusus.

Sehubungan itu, Seri Paduka menzahirkan harapan agar semangat kerjasama yang dizahirkan oleh pelbagai pihak dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button