Berita UtamaPendapat

AS atau Perancis sekular lebih asli?

Slogan 'e pluribus unum' AS bermaksud penghapusan semua agama

1. PERANCIS terkenal dengan Revolusi Perancis 1789 yang meruntuhkan istana dan gereja sebelum mendirikan negara atas asas baharu, iaitu pengasingan negara dari agama secara mutlak.

Konsep yang dikenali sebagai ‘laicite’ atau bahasa mudahnya ‘sekularisme’ adalah konsep yang menjadi teras negara hingga kini.

Sekularisme dipraktikkan dalam bentuk yang paling ekstrem sehinggakan apa-apa juga simbol agama tidak dibenarkan dipamerkan di khalayak awam, malah bertudung bagi seorang muslimah adalah simbol agama di Perancis.

2. Dengan itu, Perancis sering dianggap sebagai negara sekular asli dan jika ingin melihat wajah sebenar sekular, lihatlah ke Perancis menurut pandangan sebahagian pengkaji.

Kes terbaharu yang berlaku di Perancis menguatkan lagi persepsi tersebut.

3. Pada masa sama, banyak negara lain di Barat yang mengambil pendekatan lain dalam mempraktikkan fahaman sekular mereka.

Sebagai contoh, Amerika Syarikat (AS) mewajibkan ahli Kongres mengangkat sumpah menggunakan Bible.

Jadi adakah AS membenarkan praktik agama dalam negara yang sekular itu?

Ataupun adakah AS sebenanya tidak sekular?

4. Barat selepas revolusi, menolak agama secara mutlak.

Itu sebenarnya perkara konsisten hingga ke hari ini.

Perancis, AS, United Kingdom (UK) dan sebagainya adalah serupa dalam prinsip pengasingan agama.

Bagaimanapun, manusia tetap mahu beragama. Maka, ada yang mengecilkan skop praktik agama dalam bentuk yang lebih dikenali sebagai ‘agama orang awam’, dengan menggunakan simbol dan ritual.

Perkara itu adalah dibenarkan, namun meletakkan agama di atas segala sistem dalam negara adalah tidak sama sekali.

Muncul dalam simbol, muncul dalam ritual … itu dibenarkan. Tetapi meletakkan agama di atas segala sistem dalam negara, itu tidak sama sekali.

5. Dari situ kita boleh fahami, apa yang berlaku di Amerika sebenarnya adalah sekularisme dalam bentuknya yang tersendiri.

Dalam apa juga keadaan, agama tetap tidak ada tempat dalam penggubalan polisi negara.

Jika tidak percaya, cubalah daftar satu parti yang membawa konsep dan falsafah agama dan lihat adakah AS membenarkan penubuhannya?

6. Falsafah dan konsep sejati AS adalah ‘e pluribus unum’ iaitu ‘out of many, one’.

Ia adalah slogan yang bermaksud penghapusan semua agama dan fahaman dan hanya menjadi satu sahaja.

Salah satu maksud di dalam slogan itu adalah penolakan agama yang dibawa oleh AS sejak 1776.

Apabila AS secara rasmi menggunakan slogan ‘In God we trust’ pada 1956, ia tidak boleh dilihat sebagai penghapus slogan ‘e pluribus unum’ itu.

Bahkan, sebahagian pengkaji mengatakan itu hanyalah taktik AS untuk mengekang pengaruh komunis pada zaman itu sahaja.

Namun, prinsip penolakan agama tetap diamalkan seperti mana yang boleh disaksikan melalui dasar dalam dan luar negara AS dari dahulu hingga hari ini.

7. Kesimpulannya, manakah sebenarnya sekular asli; AS atau Perancis?

Ulam pernah berkata: “al-kufru millatun wahidah,” yang bermaksud kufur itu adalah agama yang satu.


Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button