Berita Utama

BERJASA turun padang bantu mangsa banjir kilat di Seremban

Gesa kerajaan negeri siasat punca banjir supaya tak berulang

SEREMBAN, 18 Rabiulawal 1442H, Rabu – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menawarkan khidmat bantuan peringkat komuniti bagi membantu mangsa bencana banjir kilat di Seremban, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa BERJASA Negeri Sembilan, Haji Zamani Ibrahim berkata, seramai lebih 10 ahli BERJASA terdiri daripada kalangan anak muda turun padang membantu membersihkan rumah mangsa terjejas di Kampung Baru Blok C, Ampangan di sini.

Setakat tengah hari tadi, kerja-kerja pembersihan membabitkan empat buah rumah telah selesai dan akan meneruskan bakinya petang ini sehingga esok.

“Sebanyak 40 buah rumah yang terjejas di sekitar kampung ini, dan BERJASA menjangkakan semua kerja pembersihan selesai sehingga esok.

“Selain bantuan tenaga, kita juga memberikan sumbangan berbentuk wang ringgit kepada mangsa terlibat,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Haji Zamani berkata, kes banjir kilat di kawasan itu bukanlah kali pertama berlaku memandangkan ianya berhampiran dengan sungai.

“Bagaimanapun, ia dianggap banjir paling besar bagi penduduk berkenaan, kerana kejadian sebelumnya hanyalah pada paras buku lali sahaja.

“Tetapi, penduduk di sini memberitahu bahawa air yang mula naik sejak jam 1 pagi tadi, mencecah sehingga lima kaki,” katanya.

Serentak itu, BERJASA menggesa pihak kerajaan negeri menyiasat punca banjir kilat di daerah berkenaan, supaya ia tidak kembali berulang.

“Saya nampak perparitan tidak clear. Mungkin kerajaan perlu pastikan punca utama kerana penduduk di sini hampir dengan sungai.

“Maka, kerajaan perlu pastikan tiada benda yang menghalang laluan sungai itu,” katanya.

Terdahulu, sekurang-kurangnya sembilan kawasan di daerah Seremban dan Rantau dilanda banjir kilat susulan hujan lebat kira-kira tiga jam, bermula 12.30 tengah malam tadi.

Kawasan terbabit ialah Taman Happy dan Kampun Datuk Mansor di Rasah, Blok C Ampangan, Taman Bukit Chedang, Kampung Batu Tiga Mambau, Taman Angsamas dan Kampung Linsum, Kampung Kuala Sawah serta Siliau di Rantau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button