Berita Utama

‘Blockchain’ selesai isu keselamatan, kerahsiaan undi digital

Blok rantai turut bantu elak penipuan, tingkatkan integriti

BANGI, 18 Rabiulawal 1442H, Rabu – Pengundian secara digital melalui teknologi blockhain berpotensi menyelesaikan isu berkaitan keselamatan dan kerahsiaan, kata Dr Suzana Muhamad Said.

Felo Kanan Pusat Kajian Perniagaan Global dan Ekonomi Digital (GloBDE), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, Sierra Leone antara negara pertama melaksanakan teknologi blockchain bagi tujuan pengundian.

Katanya, kebaikan teknologi itu termasuk bersifat telus, tanpa kawalan berpusat atau perantara, lejar yang dipercayai serta tidak boleh diubah, ditambah, dipadam atau dikemaskini.

Jelas beliau. ciri utama membezakannya ialah aspek keselamatan dan pangkalan data disimpan dan disembunyikan melalui enkripsi, yang secara tidak langsung ia meningkatkan privasi dan kebebasan data peribadi individu.

“Teknologi blockchain turut membantu mengelakkan penipuan dan meningkatkan integriti.

“Namun, tidak dinafikan ia hanya boleh berfungsi dengan cekap secara keseluruhannya dengan adanya penguatkuasaan undang-undang, kerahsiaan pangkalan maklumat, memiliki modal insan berkepakaran teknikal dalam bidang teknologi serta kerjasama baik antara ahli politik dan rakyat,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Istilah blockchain atau blok rantai merujuk lejar diagihkan melalui kaedah kriptografi terdiri daripada data tidak dapat diubah dan direkodkan secara digital dalam blok yang berangkai bersama-sama, sehingga dapat dikongsi dan diakses sesiapa sahaja melalui persetujuan atau keizinan rangkaian blok berkenaan untuk pengesahan.

Mengulas lanjut, Suzana berkata, proses demokrasi melalui pilihan raya secara digital perlu diperhalusi kerana membabitkan risiko besar seperti pencerobohan pangkalan data yang mengakibatkan manipulasi undi.

Oleh itu, katanya, terdapat satu keperluan bahawa penyedia sistem yang akan membangunkan pengundian berasaskan teknologi blockchain, melalui pemeriksaan keselamatan tinggi dan boleh dipercayai.

“Walaupun banyak perlu dilakukan, memulakannya wajar disegerakan, terutama ketika krisis kesihatan.

“Sudah tentu penelitian keperluan prasarana dan kepakaran teknikal serta perundangan jelas berkaitannya boleh dilakukan dengan melihat kepada model pelaksanaan dan mengambil pengajaran daripada negara yang sudah melaksanakannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button