Berita Utama

Tekan ekonomi Zionis, rakyat Palestin di Tebing Barat, Al-Aqsa mogok besar-besaran

Para mujahidin masih berjuang habis-habisan demi pertahan bumi Palestin

BANGI, 7 Syawal 1442H, Rabu – Rakyat Palestin menyambut seruan mogok umum serta demonstrasi sebagai tanda sokongan dan dukungan kepada saudara mereka di Gaza yang tatkala ini berdepan pencerobohan serta keganasan negara pengganas Israel.

Pelaksanaan mogok yang bermula semalam adalah sebagai bentuk kesatuan rakyat Palestin secara keseluruhannya yang ingin ditunjukkan kepada dunia serta amaran politik untuk menyerang rejim Zionis.

Langkah itu mendapat sambutan oleh warga Palestin di Tebing Barat dan sekitar Masjid Al-Aqsa yang mana dapat dilihat kedai dan pejabat beroperasi di sana ditutup sepenuhnya, sekali gus menjadikan kawasan berkenaan lenggang dan seolah-olah tidak berpenghuni.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin cawangan Gaza, Ir Omar Sieyam berkata, pelaksanaan mogok itu sememangnya memberi kesan mendalam kepada Israel khususnya dari segi ekonomi.

“Memang memberi kesan sebab tidak ada langsung pergerakan dan aktiviti ekonomi yang boleh dilaksanakan ketika ini.

“Kesemua dilakukan demi memberi sokongan kepada saudara di Gaza. Bukan sahaja mogok dilancarkan, demostrasi juga dibuat di sekitar Tebing Barat dan Masjid Al-Aqsa,” katanya ketika siaran langsung di Facebook bersama CEO Aman Palestin, Ustaz Awang Suffian Awang Piut.

Bagaimanapun katanya, keadaan itu telah menjurus kepada siri-siri serangan tentera Israel di kawasan sempadan ke atas penduduk Palestin yang berada di Tebing Barat.

“Di Tebing Barat telah berlaku serangan secara bersemuka tentera Israel ke atas rakyat Palestin menyebabkan empat orang rakyat Palestin di Tebing Barat gugur syahid dan 250 yang lain cedera.

“Manakala, di Gaza pengeboman Israel masih berterusan sehingga sekarang 217 syahid termasuk 63 kanak-kanak dan lebih 1,500 cedera.

“Semalam juga, Al-Qassam dan Bridged Al-Aqsa telah melancarkan serangan bom di kawasan penempatan haram Israel yang berdekatan dengan Gaza,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa pejuang Palestin masih berjuang habis-habisan untuk mempertahankan bumi Palestin dan sedaya upaya memberi kekalahan kepada Israel.

“Peperangan masih lagi berterusan dan alhamdulillah mujahidin sama ada dari pihak Al-Qassam sendiri – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) – dan Briged Al-Aqsa – Fatah – masih lagi terus memberikan tentangan ke atas serangan yang dilakukan Israel,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button