Berita Utama

Daulatkan Islam, raja, orang Melayu jika mahu kerajaan kukuh!

Ketidakpuasan hati orang Melayu beri kesan besar kepada kestabilan

BANGI, 18 Rabiulawal 1442H, Rabu – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu menjadi sebuah kerajaan yang kukuh sekiranya mengambil kira nilai tradisi sebagai asas dalam amalan politik serta pentadbirannya.

Nilai tersebut mencakupi tiga elemen utama iaitu mendaulatkan agama Islam, kedudukan raja-raja dan orang Melayu.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid menegaskan, orang Melayu tidak memiliki halangan untuk memberi sokongan sekiranya kesemua elemen berkenaan dilaksanakan dengan jelas oleh kerajaan.

“Orang Melayu akan memberi sokongan besar jika ia mampu (dilaksanakan) berteraskan prinsip digariskan.

“Kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu perlu dijaga dan dibuktikan dengan jelas dalam amalan pelaksanaan dan pegangan falsafah politik,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Prof Mohd Noor berkata, tidak akan stabil dan bertahan lama sesebuah kerajaan sekiranya gagal mendapat sokongan penuh orang Melayu sebagai kumpulan penduduk utama di negara ini.

Jelasnya, ini dibuktikan daripada kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), apabila gagal bertahan lama ekoran tidak wujud satu gabungan parti politik Melayu kuat di dalamnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu, kerana tidak wujudnya sebuah kedudukan parti politik Melayu yang kukuh berteraskan tiang seri Perlembagaan dalam kerajaan.

Ini kerana, beliau berkata, kedudukan parti politik yang berpecah dan tanpa sokongan padu orang Melayu juga tidak akan memungkinkan terbentuknya kestabilan sebenar.

“Mahu atau tidak, unsur tradisi perlu menjadi asas utama, sama ada dalam bentuk bertulis atau aplikasi amalan politik.

“Apa-apa yang boleh atau mungkin menimbulkan sesuatu kurang jelas, membawa kepada menyentuh tiang seri Perlembagaan hendaklah dijauhi sama sekali.

“Ketidakpuasan hati orang Melayu akan memberikan kesan besar kepada kestabilan sesebuah pentadbiran didukung mana-mana parti politik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button