Uncategorized

Selangor rancang beli hingga 5 juta dos vaksin COVID-19

Kes harian tinggi, perlu susun kembali strategi kawal wabak

SUNGAI BESAR, 27 Jamadilawal 1442H, Isnin – Kerajaan Selangor bercadang untuk membeli sebanyak tiga hingga lima juta dos pembelian vaksin COVID-19, sebagai langkah memutuskan rangkaian jangkitan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan dengan kerajaan Persekutuan, selain dibawa pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)

“Saya sedang usahakan sejak minggu lalu dan akan muktamadkan apabila semua urusan selesai,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mengulas mengenai perkara sama, Amirudin berkata, pembelian vaksin itu bagi memastikan kesihatan rakyat di negeri ini terus terjamin serta memastikan bekalan vaksin COVID-19 mencukupi.

Tambahnya, Selangor juga perlu membeli vaksin COVID-19 kerana membabitkan ramai pekerja industri termasuk pekerja asing.

“Setakat ini, vaksin COVID-19 disediakan kepada warganegara (namun) pekerja asing juga perlu membeli vaksin terbabit,” katanya.

Ketika ditanya langkah kerajaan Selangor berikutan mencatatkan bilangan kes COVID-19 harian tertinggi, Amirudin berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada minggu lalu.

Beliau berkata, beberapa perancangan dan pelan tertentu masih dalam tindakan, namun sebahagiannya perlu mendapatkan kelulusan MKN.

“Kita akan cuba membantu MKN kerana ketika ini suasana berbeza memandangkan Selangor dan beberapa negeri mencatatkan kes tertinggi terutama membabitkan pekerja kilang dalam kalangan warga asing.

“Sebelum ini mereka (pekerja asing) tidak disaring, apabila Selangor antara negeri mewajibkan pekerja asing disaring, akhirnya kita mendapat kes tinggi,” katanya.

Beliau turut mengakui penularan positif COVID-19 merebak dalam kalangan institusi kerajaan.

“Kita harus menyusun kembali strategi supaya sistem kesihatan kita mampu menampung dan mengawal penyakit ini dengan lebih berkesan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button