
BANGI, 18 Rabiulawal 1442H, Rabu – Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) umpama takut dengan suara sendiri apabila menegaskan kemungkinan akan mencabar melalui sistem perundangan untuk menuntut pampasan sekiranya pihak Universiti Malaya (UM) mengambil tindakan tatatertib.
Kenyataan terbaharu itu dikeluarkan selepas UM memaklumkan akan menjalankan siasatan terhadap UMANY berhubung hantaran di Facebook bertajuk ‘Yang Dipertuan Agong Tidak Sepatutnya Campur Tangan Dalam Hal Ehwal Negara’.
Semalam menerusi hantaran di Facebook, pertubuhan dipercayai pro-DAP itu berkata, UMANY berpendirian teguh dalam mempertahankan kebebasan dan hak bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“UMANY mengutuk serangan terhadap isu ini yang bersifat perkauman dan seksis, dan menegaskan sekali lagi pendirian kami dalam artikel tersebut,” katanya.
Menempelak kenyataan UMANY, Peneraju Kluster Pendidikan Kelab Mahasiswa BERJASA (WIBAWA), Azfarul Solehin yakin persatuan itu tetap seperti biasa akan bermain dengan tipu helah dan memutar belitkan kenyataan.
UMANY dengan bangganya turut mencabar UM jika ingin terus melakukan siasatan kerana telah mengetengahkan perbincangan akademik, katanya.
“Kenyataan yang rasis dan berbaur perkauman, sikap biadap mereka terhadap raja dan Perlembagaan Persekutuan sering dilontarkan seolah-olah dipandang sebelah mata oleh pihak berwajib di UM.
“Jelas dan nyata. UMANY perlu ingat, kami semua celik dan tahu perkara sebenar. Semakin kamu bermain seperti ular maka pada akhirnya kamu akan membelit diri kamu sendiri.
“UMANY mengutuk serangan terhadap isu bersifat perkauman dan seksis, kata-kata ini sepatutnya ditujukan kepada UMANY itu sendiri,” tegasnya yang memaklumkan telah membuat laporan polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berhubung perkara itu.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa WIBAWA tidak akan sesekali benarkan golongan rasis cauvinis seperti UMANY untuk terus menghasut dan meracuni fikiran anak muda bagi menentang kedudukan institusi diraja sekali gus mengakibatkan keretakan pada hubungan antara masyarakat majmuk di watan ini.
“Kita tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana individu atau persatuan yang bertindak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Surat rasmi bertujuan pembubaran dan pengharaman UMANY akan dihantar kepada Naib Canselor UM, Professor Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor oleh WIBAWA.
“Kami maju demi masa depan negara. UMANY perlu dihapuskan, kewujudan mereka menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara,” katanya.