Berita Utama

Masuk akalkah tiada pihak sedar 5,589 kilang haram di Selangor?

'Tak hairan selalu tiada air, entah berapa ratus juta pulihkan keadaan'

BANGI, 18 Rabiulawal 1442H, Rabu – Masuk akalkah sejumlah 5,589 kilang yang beroperasi secara haram di Selangor tetapi tiada pihak yang sedar?

Adakah Exco kerajaan negeri dan wakil rakyat tidur atau ada pihak telah ‘menyuap’ pihak berkuasa sehingga semuanya tutup mulut?

Demikian persoalan yang ditimbulkan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya susulan laporan mengenai kewujudan lebih 5,000 kilang tanpa kebenaran yang beroperasi di Selangor.

Beliau kesal apabila isu di Selangor timbul ketika mana kes membabitkan pekebun durian Musang King haram di Raub, Pahang masih belum selesai.

“Dan trend kedua-dua isu ini sama sahaja, iaitu ada politikus yang memegang kuasa mempertahankannya dan ‘yang haram bakal dihalalkan’.

“Apalah malangnya nasib kita semua rakyat marhaen biasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan sebanyak 5,589 kilang tanpa kebenaran dikesan beroperasi di seluruh Selangor dengan 869 daripadanya berada di sekitar sungai.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, daripada 869 kilang tanpa kebenaran di sekitar sungai, sebahagian besarnya terletak di hilir sungai atau selepas muka sauk loji rawatan air (LRA).

Sze Han berkata, kilang berkenaan mempunyai lesen perniagaan sementara tetapi belum memenuhi syarat teknikal seperti status tanah, pengezonan atau kebenaran merancang, sekali gus menafikan ia menjalankan aktiviti haram.

Susulan itu, Sze Han berkata, kerajaan negeri berpandangan kilang tanpa kebenaran wajar diberi peluang dan disebabkan itu, Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran yang ditukar nama kepada Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Selangor dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Kecewa dengan lanjutan itu, Aminuddin mempersoalkan bagaimana semua kilang terbabit boleh menjalankan operasi tanpa kelulusan sehingga sekarang.

“Kenapa tidak ada tindakan awal diambil? Apakah pihak PBT (pihak berkuasa tempatan) tak tahu atau sengaja mendiamkan diri?

“Kalau ada elemen rasuah kenapa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tidak ambil tindakan? Jabatan Alam Sekitar pula bagaimana? Mustahil juga Menteri Besar tidak tahu perkara ini,” soalnya lagi.

Beliau berkata, walaupun operasi semua kilang berkenaan terbongkar, kerajaan negeri seolah-olah tidak malu mempertahankan mereka.

“Tidak hairanlah Selangor selalu tiada air disebabkan pencemaran. Entah berapa ratus juta kerajaan harus tanggung untuk pulih keadaan sedangkan pihak pengilang duduk bersenang-lenang mengaut keuntungan.

“Oleh itu, saya menyeru rakyat untuk menolak pemimpin-pemimpin rakus dan tidak berintegriti yang ada pada hari ini dan pilihlah pemimpin yang betul-betul amanah dan bekerja untuk kepentingan rakyat bukan perut sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button