Dunia

PM Palestin kecam serangan Israel di Tebing Barat

85 orang kehilangan tempat tinggal termasuk 35 kanak-kanak

RAMALLAH, 18 Rabiulawal 1442H, Rabu – Perdana Menteri Palestin Mohammad Shtayyeh pada Selasa malam mengecam serangan oleh tentera Israel di penempatan Badwi Palestin di Tebing Barat, lapor Agensi Anadolu.

Serangan di bahagian timur Tubas memusnahkan 11 rumah pada Isnin, menjadikan sekurang-kurangnya 85 orang kehilangan tempat tinggal termasuk 35 kanak-kanak, menurut Shtayyeh.

Beliau menuntut masyarakat antarabangsa untuk menghalang Israel menghancurkan daerah-daerah yang menjadi penempatan masyarakat Badwi dan memberikan perlindungan kepada rakyat Palestin daripada pelanggaran tersebut.

Shtayyeh berkata ia adalah satu lagi pelanggaran undang-undang antarabangsa dan memusnahkan kemungkinan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Beliau berkata serangan terbaharu berlaku ketika seluruh dunia tertumpu pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat dan serangan itu bertujuan untuk menutupi jenayah oleh tentera Israel.

Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, dipandang sebagai wilayah yang diduduki di bawah undang-undang antarabangsa, menjadikan semua penempatan Yahudi di sana tidak sah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button