Berita Utama

PN memang mahu mandat baharu daripada rakyat

PRU boleh dibuat jika COVID-19, usaha pulih ekonomi diselesaikan

PUTRAJAYA, 18 Rabiulawal 1442H, Rabu – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sememangnya berharap untuk mendapat mandat baharu daripada rakyat melalui pilihan raya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, pilihan raya umum boleh dibuat sekiranya isu berkaitan pandemik COVID-19 dan usaha pemulihan ekonomi negara dapat diselesaikan.

“Jika dua perkara ini dapat kita selesaikan, saya memang mengharapkan kita mendapat satu mandat baharu.

“Kita pergi kepada rakyat dan mohon rakyat pertimbangkan. Kalau mereka berpendapat kerajaan Perikatan Nasional ini bagus dan prihatin terhadap masalah mereka… mereka akan hargai usaha kita,” katanya dalam sidang media khas secara maya bersama Bernama dan stesen-stesen televisyen tempatan.

“Bila COVID selesai, ekonomi rancak, terserahlah, kita berdoa pada Allah agar negara kita kembali pada landasan yang betul dalam satu tempoh yang tidak terlalu lama,” kata Muhyiddin.

Bagaimanapun, ketika mengulas mengenai dakwaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini satu belanjawan pilihan raya, Muhyiddin berkata: “Bila pilihan raya. Saya sendiri tidak tahu.”

“Pilihan raya ke bukan pilihan raya, kita tetap akan bantu rakyat…bela nasib rakyat,” kata Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, kerajaan PN memang sentiasa berusaha dan mahu mengurangkan beban yang dihadapi rakyat dan keadaan ekonomi yang tidak serancak diharapkan.

“Baru landaikan keluk COVID, gelombang ketiga pula datang,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin pernah membayangkan untuk mengadakan pilihan raya umum selepas Pilihan Raya Negeri Sabah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button