Berita Utama

Sikap kurang ajar segelintir pihak boleh akibat hura-hara

Agenda sebenar ultra kiasu politik takkan padam selagi tidak tercapai

BANGI, 18 Rabiulawal 1442H, Rabu – Pihak berkuasa khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) perlu bersikap tegas menangani gejala yang boleh mengakibatkan keadaan huru-hara dan ketidakstabilan negara.

Ini termasuk kenyataan-kenyataan yang berbaur hasutan – seolah-olah mahu rakyat menolak peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara – seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mungkin lebih teruk, apabila ada ada pihak yang bertindak melampau menghina Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Ketua Komunikasi dan Multimedia Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA), Haji Rashidi Haris berkata, tindakan segelintir pihak kurang ajar ini hanya mendatangkan kemudaratan. 

“Kita minta tangkap, soal siasat dan bagi amaran keras kepada mereka yang tersesat dan terpesong daripada memahami uslub pentadbiran negara. 

“Orang Melayu khususnya yang beragama Islam harus tahu agenda sebenar kiasu politik bahawa mereka tidak pernah padam selagi hasrat tidak tercapai,” tegasnya.

Sebelum ini, beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu susulan memuat naik gambar berbentuk provokatif terhadap sistem monarki di Thailand. 

“Sekarang di Bangkok. Mereka (rakyat Thailand) mengatakan tidak kepada raja,” menurut hantaran Ronnie yang turut memaparkan tiga keping gambar demontrasi di negara jiran itu.

Bagaimanapun, hantaran berkenaan telah dipadamkan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berkenaan, namun sempat ditangkap layar netizen dan menularkan hantaran di media sosial.

Terbaharu, Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) pula didakwa mempertikai kuasa Agong dalam urusan politik negara – menerusi hantaran di Facebook. 

UMANY mendakwa, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Kata pertubuhan itu, di bawah sistem ini, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

Sama ada melantik Ketua Hakim, duta diplomatik bahkan meluluskan berbagai undang-undang di Parlimen, raja tidak mempunyai wewenang, kata UMANY.

Pertubuhan itu menyatakan pendiriannya – Yang Di-Pertuan Agong tidak boleh mencampuri urusan negara tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Namun, hantaran UMANY di Facebook telah dipadamkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button