Berita Utama

Tiada tindakan kawal 1.37 juta talian prabayar meragukan?

Boleh jadi penyebab kes penipuan dan aktiviti scammer

BANGI, 18 Rabiulawal 1442H, Rabu – Mengapa setelah hampir sejuta talian yang meragukan didaftar, tiada tindakan susulan atau perancangan untuk mengawal keadaan ini?

Demikian persoalan dibangkitkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Saifuddin Abdullah mendedahkan sebanyak 1.37 juta talian prabayar yang didaftar secara meragukan dikesan sehingga Oktober lalu.

Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengesan sebanyak 1,377,862 talian prabayar yang didaftar secara meragukan dalam tempoh Januari 2018 hingga Oktober 2020.

Saifuddin berkata, sebanyak 920,207 talian itu sudah ditamatkan perkhidmatan manakala 457,645 lagi dikemas kini dengan maklumat yang sah.

Terkejut dengan perkembangan terbaharu itu, PPIM berkata, dalam tempoh tersebut seluruh rakyat Malaysia telah terdedah dengan hampir sejuta talian yang meragukan dan boleh menjadi penyebab ke atas gejala-gejala ‘scamming’ yang heboh baru-baru ini.

Katanya, talian-talian seperti ini jelas digunakan untuk tujuan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat dan merosakkan masyarakat.

“Sehubungan itu, PPIM menggesa agar pihak berkaitan memberi penjelasan sepenuhnya mengapa setelah hampir sejuta talian yang meragukan didaftarkan, tiada tindakan susulan atau perancangan untuk mengawal keadaan ini dilaksanakan?

“Pihak berkuasa khususnya SKMM seharusnya boleh membuat jangkaan akan kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku dalam era teknologi maklumat sekarang.

“SKMM seharusnya mempunyai jaringan kerjasama khususnya dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam menangani isu-isu utama yang boleh menjejaskan kualiti hidup pengguna,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada masa sama, PPIM menyeru agar SKMM menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk merancang dan memperhalusi tindakan-tindakan mereka untuk membendung perkara yang kurang sihat ini.

“PPIM juga menggesa pihak berkuasa mengesan dan menahan pelaku-pelaku jenayah ini dan mengheret mereka ke muka pengadilan termasuk pihak-pihak Telco yang menyediakan kemudahan-kemudahan talian ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button