Berita UtamaPendapat

Tragedi pembunuhan kejam

Rasulullah ﷺ ingatkan individu berjaya kawal marah miliki jiwa kuat

1. TRAGEDI pembunuhan kejam seorang gadis yang dikatakan dibunuh oleh rakannya sendiri memberikan kita satu gambaran yang jelas bahawa hati manusia boleh menjadi sangat keras dan kejam. Benarlah firman Allah SWT yang menyebutkan:

ثُمَّ قَسَتْ قُلُوبُكُم مِّن بَعْدِ ذَٰلِكَ فَهِيَ كَالْحِجَارَةِ أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةً

“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi,” (al-Baqarah: 74)

2. Tragedi ini turut mengingatkan kita bahawa kegagalan untuk mengawal dan mengurus sifat marah boleh membawa kepada padah yang akan disesali selamanya.

Atas itu Rasulullah ﷺ sering menasihatkan kita agar sentiasa mengawal kemarahan. Sabda Rasulullah ﷺ:

لا تغضب ولك الجنة

“Janganlah kamu marah, kamu akan beroleh syurga,”

Bahkan dalam hadis yang lain Rasulullah ﷺ mengingatkan mereka yang berjaya mengawal sifat marah adalah mereka yang memiliki jiwa yang kuat. (HR al-Tabrani)

3. Insiden ini turut mendidik kita agar sentiasa mengawal pertuturan kita.

Ketahuilah bahawa lidah itu lebih tajam dari pedang.

Tusukan lidah boleh menusuk jiwa manusia yang goyah sehingga boleh dikuasai syaitan. Rasulullah ﷺ pernah mengingatkan:

وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ أَوْ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ إِلاَّ حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ

“Tidaklah manusia tersungkur mukanya di dalam neraka mereka melainkan dengan sebab lisan (ucapan) mereka,” (HR al-Tirmizi)

4. Dan ingatlah bahawa mereka yang mati kerana berjuang mempertahankan hak diri, keluarga atau harta mereka, maka mereka berupaya untuk memperoleh ganjaran syahid akhirat seperti yang disabdakan oleh Nabi ﷺ:

مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ

“Siapa yang terbunuh kerana melindungi hartanya, dia adalah seorang syahid. Sesiapa yang terbunuh kerana melindungi keluarganya, dia adalah seorang syahid,” (HR al-Nasa’i)

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button