Berita Utama

UM diingat jangan tunduk ugutan perundangan UMANY!

Pihak universiti patut tidak tergugat, takut dengan kenyataan itu

BANGI, 18 Rabiulawal 1442H, Rabu – Universiti Malaya (UM) diingatkan untuk tidak takut kepada ugutan Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) yang mahu mengambil tindakan perundangan terhadap mereka.

Pihak universiti juga tidak perlu gentar dengan kenyataan terbaharu pertubuhan dipercayai pro-DAP itu, kerana isu yang diperjuangkan mendapat sokongan teguh dalam kalangan rakyat.

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menegaskan, tindakan tunduk kepada kehendak pertubuhan yang disifatkan sebagai ultra kiasu kecil itu hanya akan mencalar nama baik universiti sahaja.

Dalam pada masa sama, PEMBELA turut mempersoalkan kelakukan yang dipamerkan oleh UMANY seolah-olah mereka ini kebal dan dilindungi.

“Nampaknya selepas pihak Universiti Malaya mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan menyiasat persatuan pelajar mereka yang bernama ‘UMANY’ yang telah mengeluarkan kenyataan biadap terhadap Agong, persatuan itu mengeluarkan kenyataan balas mengutuk dan mencabar pula.

“Mereka (UMANY) berkata, sekiranya pihak universiti ingin mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka, maka berkemungkinan mereka akan cabar tindakan tersebut melalui sistem perundangan untuk menuntut pampasan.

“Universiti Malaya sepatutnya tidak tergugat dan takut dengan kenyataan ini. Jika pihak universiti tunduk dengan mereka, maka kami akan berasa sangat kecewa dan imej universiti akan tercalar dengan teruk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, UMANY berkata, pihaknya berkemungkinan mencabar tindakan tatatertib yang dikenakan UM ke atasnya melalui sistem perundangan untuk menuntut pampasan.

UMANY berkata, ia berpendirian teguh dalam mempertahankan kebebasan dan hak bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“UMANY mengutuk serangan terhadap isu ini yang bersifat perkauman dan seksis, dan menegaskan sekali lagi pendirian kami dalam artikel tersebut,” katanya.

Terdahulu, UM dalam satu kenyataan berjanji akan segera menjalankan siasatan mengenai hantaran di laman Facebook bertajuk ‘Yang di-Pertuan Agong Tidak Sepatutnya Campur Tangan dalam Hal Ehwal Negara’ yang dimuat naik UMANY.

Pejabat Komunikasi Korporat UM menegaskan, universiti itu menjunjung dan menghormati institusi beraja.

“Oleh yang demikian, Pengurusan Tertinggi Universiti mengutuk sebarang kenyataan yang melanggar atau bertentangan dengan prinsip tersebut,” katanya.

UMANY baru-baru ini mencetuskan kontroversi selepas memuat naik hantaran di Facebook didakwa mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan politik negara.

UMANY mendakwa, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Kata pertubuhan itu, di bawah sistem, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

Sama ada melantik Ketua Hakim, duta diplomatik bahkan meluluskan berbagai undang-undang di Parlimen, raja tidak mempunyai wewenang, kata UMANY.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button