Berita Utama

Yayasan Maghfirah, I-Medik sampaikan sumbangan kepada ‘frontliners’ di Sabah

Bantuan lebih RM100,000 hasil kutipan dari orang ramai sejak Oktober

BANGI, 18 Rabiulawal 1442H, Rabu – Yayasan Maghfirah dengan kerjasama Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menyampaikan sumbangan pelbagai barangan bernilai lebih RM100,000 kepada barisan hadapan di Sabah.

Bantuan itu diusahakan oleh Yayasan Maghfirah melalui kutipan sumbangan orang ramai bermula pada Oktober lepas.

Antara sumbangan yang disampaikan termasuk 4,000 unit peralatan perlindungan diri (PPE), 200 kotak pelitup muka, 500 unit kit kebersihan dan 1,200 unit ‘essential kit’.

Yayasan Maghfirah menerusi satu kenyataan berkata, situasi semasa di Sabah yang begitu memerlukan telah memaksa untuk mempercepatkan jadual penghantaran bantuan.

“Melalui kerjasama bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tiga tan barang bantuan yang telah siap dibungkus akan dimuatkan ke dalam pesawat ATM untuk dihantar ke daerah Sandakan dan Kota Kinabalu.

“Bantuan ini bukan sahaja untuk para pejuang barisan hadapan, malah diperuntukkan juga kepada masyarakat Sabah. Bantuan kit kesihatan dan ‘essential kit’ akan diberikan kepada mereka yang terkesan dengan gelombang ketiga wabak ini,” katanya.

Katanya lagi, bantuan ini sangat berharga kepada masyarakat yang tinggal di pedalaman dan kurang berkemampuan.

“Kesusahan mereka ini menyebabkan mereka lebih mengutamakan keperluan makanan asas berbanding pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

“Yayasan Maghfirah dengan kerjasama I-Medik akan terus memberikan khidmat terbaik buat para pejuang barisan hadapan dan juga masyarakat Malaysia yang terjejas akibat wabak ini. Bersama kita putuskan rantaian wabak COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button