Berita Utama

17 pekerja Top Glove positif COVID-19

Pekerja terjejas tidak tunjuk sebarang gejala, tidak demam

KUALA LUMPUR, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Top Glove Corporation Bhd mengesahkan bahawa 17 kes dalam kalangan pekerjanya, mewakili kurang daripada 0.1 peratus daripada jumlah tenaga kerja kumpulan yang seramai 21,000, diuji positif COVID-19 sejak Januari 2020.

Dalam satu kenyataan, pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu berkata, pekerja yang terjejas tidak menunjukkan gejala dan kebanyakan mereka tidak demam.

Mereka telah diasingkan setelah ujian sapuan (swab) diambil pada Isnin, dan semenjak itu telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan selepas keputusannya menunjukkan positif.

Pembersihan rapi dan kerja-kerja sanitasi secara menyeluruh di kilang yang terbabit, kuarters tempat tinggal dan kenderaan syarikat telah dijalankan mengikut garis panduan daripada Kementerian Kesihatan, katanya.

Pada masa sama, menjejaki kontak sedang dijalankan dan pekerja yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan pekerja terbabit telahpun diuji dan diarah kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan.

“Tidak ada impak kepada operasi Top Glove. Kami ingin mengulangi bahawa keselamatan dan kesejahteraan pekerja dan rakan luaran amat penting kepada kami, dan kami telahpun melaksanakan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu membendung penularan virus ini,” katanya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button