Berita Utama

21 produk makanan ada racun berjadual

Peniaga yang ada stok produk diarah henti jual serta-merta

BANGI, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 21 produk makanan membabitkan 16 jenama didapati mengandungi racun berjadual yang dilarang penambahannya dalam makanan.

Hasil pemantauan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) yang dijalankan sepanjang tahun 2019 hingga Ogos 2020, produk berkenaan didapati diaduk dengan racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, dexamethasone dan prednisolone.

Ia membabitkan minuman kesihatan Tonik Tuan Haji 1921, Candy B+ Complex, Orange+, Kopi Panggung Al Ambiak, Kopi Jantan Tradisional, Kopi Pra Campuran, Kopi Harimau, Kopi Mutiara, Jus Kesihatan Tradisional, Miracle Energy Coffee dan Kopi Strong Man Plus.

Justeru, tindakan undang-undang telah diambil ke atas pengeluar atau pengedar empat daripada 16 jenama produk makanan yang tidak mematuhi undang-undang itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil siasatan bagi 12 lagi jenama produk makanan yang lain mendapati nama dan alamat syarikat adalah palsu serta tidak lengkap.

“Sehubungan itu, KKM memberi amaran dan melarang penjualan semua produk makanan tersebut.

“Semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut meminta orang ramai yang sedang menggunakan produk terbabit supaya segera mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa menggunakan kebijaksanaan dan berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan terlarang.

“KKM ingin menegaskan supaya semua makanan yang dijual di negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengilang, pembungkus, pengedar, ejen pemasaran dan penjual untuk memastikan produk makanan yang dijual mematuhi perundangan makanan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button