Berita Utama

Bajet 2021: Syor kaji semula GST kadar terendah 3 peratus

Kadar berasingan sebanyak 7 peratus bagi produk alkohol, rokok

BANGI, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Dalam usaha menstabilkan semula kewangan kerajaan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) mencadangkan supaya sistem percukaian efektif melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksana semula dengan pembaharuan tertentu.

Justeru, satu kajian menyeluruh perlu dibuat oleh kerajaan terhadap pelaksanaan semula GST pada kadar baharu yang lebih rendah iaitu 3 peratus berbanding 6 peratus sebelum ini.

Malaysia mula mengenakan GST pada 1 April 2015 – menerusi pemerintahan Barisan Nasional (BN) – dengan kadar 6 peratus sehinggalah dimansuhkan oleh Pakatan Harapan pada 1 Jun 2018.

Menerusi Belanjawan Alternatif 2021, BERJASA mencadangkan supaya pelaksanaan sistem percukaian berkenaan dikuat kuasa semula selepas situasi ekonomi negara pulih pasca pandemik COVID-19.

“Sekiranya kutipan GST ketika pada kadar yang diperkenalkan iaitu 6 peratus pada tiga tahun lalu membawa hasil hampir RM42 bilion kepada kerajaan, BERJASA menjangkakan pengenalan semua ini akan membawa sekurang-kurangnya RM20 bilion pendapatan kepada kerajaan Persekutuan.

“Malah, sekiranya pelaksanaan sistem GST yang baharu ini lebih tersusun dan rapi, dijangka pendapatan kerajaan boleh mencecah RM35 bilion setahun,” katanya.

Sehubungan itu, BERJASA mengesyorkan supaya pelaksaan GST yang baharu dijalankan secara berperingkat sebelum sistem cukai itu dikuat kuasa secara menyeluruh.

“BERJASA juga melihat keperluan untuk mengenakan kadar berasingan terhadap barangan berbahaya kepada kesihatan seperti rokok dan alkohol dikenakan GST berkadar lebih tinggi iaitu 7 peratus.

“Manakala, barangan keperluan harian seperti bahan mentah makanan dan barangan lain dicadangkan untuk tidak dikenakan sebarang GST atau 0 peratus,” katanya.

BACA PENUH BELANJAWAN ALTERNATIF BERJASA DI RUANGAN ARTIKEL KHAS ISMAWEB.NET

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button