Berita UtamaDunia

Raja Jordan sertai misi gugur bantuan di Gaza

Ikrar bertemu Joe Biden, desak Washington tekan Israel hapus sekatan

AMMAN, 2 Syaaban 1445, Isnin – Raja Jordan Raja Abdullah II menyertai misi menggugurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Langkah itu menonjolkan peranan kerajaan Jordan dalam mendorong Israel menghentikan sekatan bagi membantu menangkis penyakit, kebuluran di wilayah yang dilanda perang, kata pegawai.

Sebuah video yang dikeluarkan Al Mamlaka – milik kerajaan – menunjukkan Raja Jordan dengan peralatan ketenteraan di dalam pesawat misi terbaharu tentera udara Jordan untuk menghantar bekalan perubatan segera ke hospital yang dikendalikannya di kawasan itu.

Menurut media rasmi, misi terbaru menggugurkan bantuan adalah pada Selasa.

Jordan telah menjalankan 11 misi ‘airdrop’, dengan sekurang-kurangnya dua dijalankan dengan tentera udara Perancis dan Belanda, untuk menyampaikan bantuan perubatan.

Pada Disember lalu, Puteri Salma, anak perempuan kedua Raja Jordan dan seorang juruterbang tentera udara, mengambil bahagian dalam misi itu.

Raja yang lantang menggesa supaya kempen Israel dihentikan, pada Khamis meninggalkan lawatan ke ibu kota utama Barat dan dijangka bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden di Washington pada Isnin bagi melobi gencatan senjata segera.

Raja Abdullah II akan mendesak Washington bagi menekan Israel supaya menghapuskan halangan untuk menyampaikan lebih banyak bantuan kepada rakyat Palestin,.

Menurut pegawai, Baginda bertitah halangan itu memburukkan lagi nasib lebih dua juta penduduk wilayah yang menghadapi risiko kebuluran yang semakin meningkat.

Jordan berjaya menggesa Israel membenarkan Program Makanan Sedunia (WFP) menghantar penghantaran ke Gaza melalui laluan darat lain yang bermula dari Jordan, membantu mengurangkan tekanan ke atas pintu masuk utama Rafah yang terhad kapasitinya.

Jordan – yang berkongsi sempadan dengan Tebing Barat – bimbang konflik Gaza boleh merebak, dengan keganasan yang lebih meluas oleh peneroka bersenjata yang digalakkan oleh tentera mencetuskan penghijrahan besar-besaran rakyat Palestin ke seberang Sungai Jordan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button