Berita Utama

Belanjawan 2021: Belia mahu lebih banyak rumah mampu milik

Ketengahkan projek perumahan generasi ketiga FELDA

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Sudah tiba masanya kerajaan mempergiatkan pembinaan rumah mampu milik serta mempermudahkan kelulusan skim pinjaman perumahan awam dan swasta untuk golongan belia.

Jawatankuasa Gerakan Massa Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Soufi Anual mengesyorkan perkara itu supaya diterapkan dalam Belanjawan 2021 – dengan harapan pemilikan rumah di kalangan generasi belia terus meningkat pada masa akan datang. 

“Kadar faedah dan harga yang rumah yang lebih rendah pastinya akan menjadi satu kelegaan buat para belia,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Selain itu, Soufi turut menyentuh berkenaan projek pembangunan Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF).

Katanya, fokus terhadap projek pembangunan dan perumahan generasi ketiga FELDA ini juga wajar diketengahkan. 

“Bantuan daripada sudut pekerjaan dalam agensi FELDA dan skim perumahan pasti menarik generasi ketiga untuk menyambung legasi FELDA yang telah terbukti berjaya menaikkan ekonomi Bumiputera.

“Bidang pertanian juga mempunyai prospek cerah untuk dimajukan dengan kehadiran belia,” katanya.

Beliau berkata, beberapa elaun khas untuk nelayan dan petani, skim insurans bagi menghadapi waktu sukar dan geran latihan perlu disediakan. 

“Selain itu, pembangunan pertanian modern juga perlu dikembalikan untuk menarik belia menceburi bidang ini. 

“Ini akan mewujudkan perkembangan teknologi pertanian dan inovasi yang akan terus memacu sektor ini untuk terus berkembang,” katanya.

Di samping itu, kerajaan juga disyor untuk memberi suntikan modal kepada usahawan Bumiputera yang ingin membuka firma guaman, firma perakaunan, perkhidmatan IT seperti ‘DataSpecialist’, Robotik dan industri pesawat udara kawalan jauh tanpa juruterbang atau dron. 

“Peluang perniagaan yang banyak perlu disediakan dalam bidang ini sekali gus mengurangkan jumlah pengangguran siswazah dalam bidang ini,” katanya.

Dalam dunia digital yang sedang berkembang pesat, beliau berkata, banyak perniagaan dalam talian kini ‘tumbuh bak cendawan selepas hujan’ terutamanya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan di Malaysia. 

Pun begitu, katanya, fasiliti dan capaian internet agak menggusarkan kerana perkembangannya agak perlahan sedangkan penggunaan internet semakin pesat. 

“Jika kerajaan boleh membangunkan fasiliti dan capaian internet yang lebih laju dan baik, pastinya perniagaan atas talian dapat dipacu dengan lebih baik lagi.

“Capaian internet juga sebenarnya penting di kala kawasan yang terjejas termaktub bawah Perintak Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB). 

“Mesyuarat, perbincangan dan taklimat kerja semuanya dilakukan secara atas talian,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button